Tukar minyak pelincir hanya RM3

in Edisi by


KOTA BHARU – Lebih 300 warga Politeknik Kota Bharu (PKB) mendapat manfaat menerusi program Pakat Mari Tukar Minyak Pelincir Agar Motosikal Anda Molek apabila hanya dikenakan RM3 bagi penukaran minyak pelincir motosikal, semalam.


Pengarah program, Wan Zuhari Wan Ismail berkata, program tersebut dianjurkan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Mekanikal dan Persatuan Pelajar Kejuruteraan Elektrik dengan kerjasama Sukarelawan YES PKB.


Menurutnya, program khidmat masyarakat itu bertujuan memberi kesedaran kepada penuntut dan staf PKB mengenai kepentingan menyelenggara kenderaan sepanjang masa.


“Kita tahu rata-rata penuntut politeknik menggunakan motosikal bagi kemudahan mereka hadir ke kuliah. Jadi amat penting untuk mereka memastikan kenderaan itu berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.


“Kita harap semua warga PKB selepas ini lebih peka dalam menjaga aspek keselamatan motosikal agar tidak mengundang kejadian buruk ketika berada di jalan raya,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata, program itu turut memberi peluang kepada pelajar jurusan kejuruteraan meningkatkan kemahiran selari dengan hasrat kementerian menjadikan politeknik sebagai peneraju sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).


“Ini merupakan salah satu usaha PKB menjana modal insan dan memantapkan sahsiah pelajar bagi membantu golongan yang memerlukan bertepatan matlamat dengan lonjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025,” katanya.


Sementara itu, pengawal keselamatan PKB, Nawi Mat Hussin menyambut baik program berkenaan kerana dapat membantu golongan berpendapatan rendah menyelenggara motosikal tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.


“Cas RM3 yang dikenakan sangat rendah, kalau pergi ke kedai motosikal di luar pasti bayaran perkhidmatan tinggi, jadi saya dapat jimat duit bagi tujuan ini,” katanya.


Bagi pelajar semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Mohd Rohaisyam Mohd Zainur mengakui program itu memberi kesedaran kepada dia dan rakan-rakannya dalam aspek penjagaan kenderaan.


“Bagi pelajar seperti saya, sudah tentu kita akan cuba meminimumkan perbelanjaan memandangkan kos sara hidup cukup tinggi, hari ini. Jadi program ini dapat membantu pelajar kerana bayaran RM3 bagi menukar minyak enjin amat rendah,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]