Warga emas ditipu RM40,000 beli batu delima

in Edisi by


KUANTAN – Seorang warga emas yang berhasrat untuk memiliki batu delima terpaksa berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM40,000 akibat terpedaya dengan tawaran tiga orang lelaki untuk memiliki barang kemas yang tidak wujud, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, wanita yang berusia 63 tahun itu telah didatangi tiga suspek di sebuah pasar raya di Triang, Bera.


Menurutnya, salah seorang suspek lelaki itu dikatakan mahu mencari kenalannya bernama Haji Yusof kerana ingin memberikan batu delima.


“Seorang lagi suspek dikenali sebagai ustaz memberitahu ada seorang tauke kaya tinggal di kawasan sebuah pasar raya berhampiran dan berjanji untuk membayar harga batu delima berkenaan.


“Mereka (suspek) kemudiannya telah membuat membuat tawaran dengan merayu mangsa membeli barang kemas yang dijual sehingga bersetuju dengan harga diberikan lelaki berkenaan,” katanya kepada media, di sini, hari ini.


Dalam pada itu, kata Wazir, suspek telah mengenakan syarat supaya mangsa membayar dahulu harga batu delima itu sebelum mendapatkannya.


“Kemudiannya, mangsa mengeluarkan wang di CIMB cawangan Mentakab sebanyak RM19,000 dan Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Temerloh sebanyak RM20,000.


“Mangsa kemudian menyerahkan kesemua duit berkenaan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,000 kepada suspek termasuk wang tunai, RM1,000 di hadapan Pasaraya Temerloh,” katanya.


Sementara itu, katanya, sebaik sahaja menyerahkan wang berkenaan, suspek mengarahkan mangsa supaya membuat solat sunat syukur di sebuah masjid di Temerloh.


“Sebaik sahaja selesai solat mangsa mendapati ketiga-tiga suspek menghilangkan diri dan menyedari ditipu.


“Mangsa segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]