Warga emas terima rumah Baiti Jannati TNB

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – “Saya tidak sangka dapat tinggal di rumah yang serba selesa ini dan berasa amat seronok,” kata Ma’alip Bedol, setelah memperolehi rumah baharu sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Projek Baiti Jannati.


Ma’alip, 69, bersama isterinya Nyah Adon, 74, serta dua orang anak dan cucu mereka, selama ini hanya mampu tinggal di sebuah rumah uzur di tapak tanah milik orang lain yang disewa di Kampung Permatang Pasir di sini, sejak 20 tahun lalu.


Ma’alip yang tidak mampu bekerja sejak lebih tujuh tahun lalu, akibat masalah penglihatan di samping mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.


Sementara isterinya pula, kini meneruskan kehidupan tanpa kedua belah kaki apabila terpaksa dipotong disebabkan penyakit kencing manis sejak dua tahun lalu.


“Keadaan rumah lama dulu tak selesa dan bocor. Sekarang betul-betul selesa dan saya pun tak sangka dapat rumah macam ni, rumah dulu sewa atas tanah orang.


“Saya amat seronok dan mengucapkan terima kasih pada pihak TNB kerana sumbang saya rumah ini,” katanya selepas majlis penyerahan rumah berkenaan yang disempurnakan Ketua Umno Bahagian Kota Melaka, Datuk Seri Latiff Tamby Chik


Turut sama, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) negeri Melaka, Bahagian Pembahagian TNB, Ir Ahmad Rezahan Mohammad.


Ahmad Rezahan berkata, Ma’alip adalah penerima rumah kedua daripada tiga orang asnaf terpilih di negeri Melaka bagi tahun ini, menerusi Projek Baiti Jannati membabitkan kawasan Durian Tunggal, Permatang Pasir dan Jalan Kampung Padang dengan kos kesemuanya berjumlah RM150,000.


“Di negeri Melaka sahaja, kita sudah bina sebanyak 17 buah rumah sejak projek ini diperkenalkan pada 2008 yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM655,000.


“TNB sentiasa memainkan peranan sewajarnya untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menyediakan kehidupan selesa kepada penerima yang layak menerusi perlaksanaan Projek Baiti Jannati ini,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]