Angkasa mahu perkasa wanita, belia

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berhasrat perkasa golongan wanita dan belia dalam pertubuhan berkenaan.


Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, perancangan berkenaan dijangka beri manfaat kepada lebih kurang 51 peratus ahli pertubuhan terbabit yang berjumlah 6.5 juta.


Katanya, antara perkara yang dilaksanakan ialah melantik golongan berkenaan dalam kumpulan pembuat dasar berbanding menjadi ahli biasa, sekali gus bagi memastikan Angkasa terus relevan.


Menurutnya, kebanyakan ahli wanita dan belia ini hanya menjadi ahli sahaja tetapi tidak aktif


“Ketika ini pembuat dasar Angkasa majoritinya adalah ahli senior  yang terdiri daripada golongan lelaki.


“Dengan adanya perancangan ini golongan berkenaan turut berpeluang untuk bersuara serta terlibat dalam jawatankuasa pertubuhan berkenaan.


“Sebab itulah perlu untuk mengangkat golongan wanita, belia dan kaum minoriti ke peringkat pembuat dasar,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Angkasa Peringkat Negeri Johor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris.


Beliau yang juga Ahli Lembaga Mesyuarat Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (Rantau Asia Pasifik) berkata, individu yang dilantik akan membantu Angkasa merangka dasar dan pelan yang lebih efektif.


Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, Angkasa telah diberi tanggungjawab untuk membangunkan satu sistem ekonomi digital koperasi bagi rantau ini.


“Dalam projek berkenaan Angkasa akan menerajui satu sistem yang membolehkan usahawan koperasi memasarkan produk mereka ke serata dunia,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]