Azroy enggan hanyut dibuai mimpi

in Sukan by


SELEPAS merangkul pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad  mengingatkan dirinya untuk tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan yang dilakarnya.


Atlet kelahiran Rompin Pahang itu melakar sejarah tersendiri apabila  muncul atlet pertama negara menyambar pingat emas di Sukan Komanwel apabila memenangi kategori snatch 56 kilogram (kg) dengan memperbaharui rekod temasya milik idolanya Amirul Hamizan yang juga pengurus skuad angkat berat negara, 5 April lalu.


Menurut Azroy, dia mahu menjadikan kemenangan sebagai motivasi untuk terus bekerja keras dalam usaha mencari lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.


Dia juga mengesahkan akan kembali menjalani persiapan ke Sukan Asia secepat mungkin biarpun masih dihimpit kecederaan koyak otot pada bahagian lutut sewaktu beraksi di Gold Coast.


“Fokus saya kini adalah untuk mengatasi rekod kebangsaan milik Amirul dalam snatch 56kg pada Sukan Asia nanti.


“Saya kena tetap teruskan latihan walaupun cedera kerana sukan angkat berat tidak boleh berehat lama, kalau tidak sukar untuk menemui semula momentum,” katanya.


Selain Azroy, kem angkat berat negara turut diceriakan dengan kejayaan satu lagi emas menerusi Muhammad Aznil Bidin dalam kategori 62 kg manakala Muhammad Fazrul Azrie Mohdad pula menyumbang pingat gangsa (85kg) sekaligus menyaksikan kontinjen itu mengatasi sasaran satu emas yang diletakkan.


Mengulas mengenai ganjaran yang bakal diperoleh olehnya termasuk RM80,000 di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN), Wafie sudah mempunyai perancangnya sendiri.


“Wang ganjaran ini saya akan memanfaatkan sebaik mungkin terutamanya dalam membantu keluarga saya dengan menghantar ibu bapa saya mengerjakan umrah selain ingin membesarkan rumah saya (di Kuala Rompin, Pahang).


“Malah, saya juga akan mengagihkannya sedikit kepada rumah anak yatim dan sekolah tahfiz yang memerlukan di sekitar Rompin kerana saya memang ada bernazar sebelum bertolak ke sana.


“Apa yang penting ganjaran ini amat bermakna buat saya. Sebagai anak kedua daripada lapan adik beradik sudah tentu saya mahu menggembirakan mereka apatah lagi dengan raya semakin menjelang,” tambahnya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]