Era Najib lebih bebas bersuara berbanding Mahathir

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa memberi ruang kepada kebebasan bersuara dan telah melaksanakan kebebasan media  melalui pelbagai langkah transformasi.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hal ini terbukti dengan track record tentang kebebasan bersuara berbanding pada zaman pemimpin utama pembangkang masa kini, yang dulunya pernah memerintah negara ini selama 22 tahun.


“Contohnya dalam Operasi Lalang 1987 yang menyaksikan seramai 100 orang ditahan tanpa bicara di bawah  Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960  (ISA) dan tiga akhbar ketika itu iaitu The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan yang telah digantung permit penerbitan masing-masing dan hari ini saya duduk semeja dengan mereka.


“Malah, ketika itu bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah mengkritik tindakan Ops Lalang tersebut dengan menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi negara polis dalam sekelip mata,” katanya di Majlis Pelancaran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2017/2018  di Matrade, hari ini.


Walaupun tidak menyebut nama namun kritikan Najib itu merujuk Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pernah disenaraikan sebagai 10 musuh utama akhbar suatu ketika dahulu.


“Pemimpin yang pernah memerintah 22 tahun itu juga turut dikecam oleh Jawatankuasa Melindung Wartawan di peringkat dunia sebagai salah seorang daripada 10 musuh akhbar pada tiga tahun berturut- turut iaitu 1999, 2000 dan 2001,” bidasnya.


Beliau berkata, kerajaan mempunyai track record yang cemerlang dalam aspek kebebasan bersuara kerana telah berjaya melaksanakan Transformasi Undang-undang seperti melalui pemansuhan ISA, memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman  2012 yang menyuburkan lagi hak bersuara rakyat di negara ini.


“Transformasi media  lain yang telah dilaksanakan  dengan memansuhkan lesen mencetak dan permit percetakan 2012 yang dahulunya mewajibkan semua  penerbitan perlu memperbaharui lesen mereka setiap tahun.


“Bahkan akhbar pro pembangkang seperti Harakah, Roket dan Siasah masih diterbitkan tanpa sebarang halangan, termasuk portal berita yang tidak mesra kerajaan masih juga dibenar  beroperasi,” ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]