Harapan tak faham struktur industri air negara: Exco

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri mendakwa Pakatan Harapan (Harapan) tidak faham dengan struktur industri air negara terutamanya babit pemberian air percuma.


Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri sememangnya mempunyai alternatif memberi air percuma sebanyak 25 meter padu kepada rakyat.   


Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut perlu dilaksanakan berdasarkan kepada beberapa aspek berkaitan penstrukturan industri air dalam negara kita.


“Aspek pertama adalah daripada segi struktur tarif air di negara itu sendiri yang diguna pakai dan sudah disemak oleh persatuan pengguna serta telah dibincangkan bersama dengan pemegang saham dan penetapan 25 meter padu berkenaan adalah purata penggunaan air oleh masyarakat di negeri ini dalam sehari.


“Kerajaan Johor memberi air percuma 25 meter padu kepada golongan sasaran iaitu mereka yang tersenarai dalam E-Kasih, penerima bantuan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan melalui Bajet Negeri Johor 2018 yang mana diperluaskan ke kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat (PPR).


“Pada masa yang sama kerajaan negeri ingin menanam kesedaran bahawa menghargai sumber air dan menggunakannya secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran merupakan pertimbangan yang penting,” katanya.  


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai manifesto Harapan Johor berhubung isu pemberian air percuma yang ditawarkan.


Katanya, kerajaan negeri juga perlu mengambil kira situasi semasa seperti  faktor iklim dan sumber yang sedia ada dalam membuat perancangan pembangunan sumber air.


“Kerajaan negeri telah meminda enakmen air yang bertujuan meningkatkan penguatkuasaan dan kawalan terhadap ancaman sumber air yang ada ketika ini sama ada dari sungai, empangan, sumber air bawah tanah dan sebagainya.


“Pindaan enakmen itu juga bertujuan memberi kuasa yang lebih kepada Badan Kawal Selia Air Negeri Johor (Bakaj) untuk mengambil tindakan, menjalankan pengawalan dan penguatkuasaan terhadap gangguan kepada sumber air yang ada,” katanya.


Menurutnya, langkah tersebut turut memastikan sumber yang terkawal dapat mengurangkan kos operasi untuk merawat air, sekali gus membekal air yang lebih berkualiti.


“Pendekatan ini dilakukan supaya kita ada tarif yang sesuai dan melaksanakan program pembangunan sumber serta mengurus bekalan yang lebih baik selari dengan pembangunan yang pesat  di negeri ini.


“Dengan adanya jaminan bekalan air yang berterusan dan berkualiti maka pelabur akan lebih yakin untuk membuat pelaburan di negeri ini,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]