Kayuhan Dhuha sumbang dana untuk masjid baharu

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Hampir 500 peserta Kayuhan Dhuha As-Syakirin 2018 berjaya menyelesaikan kayuhan sejauh 35 kilometer dari tapak Masjid Kariah Bandar Perdana ke Maahad Al-Iman, Kuala Ketil, baru-baru ini.


Pengerusi merangkap Imam, Amir Mohd Nason berkata, kayuhan ini bertujuan mencari dana pembinaan masjid baharu dan menaik taraf premis Maahad Al-Iman.


Menurutnya, penganjuran ini juga mampu menjalinkan hubungan baik antara jawatankuasa masjid dan anak kariah sekaligus mengeratkan hubungan generasi muda dan masyarakat.


Beliau berkata, peserta sempat menunaikan Solat Sunat Dhuha dan mendengar tazkirah oleh pihak maahad sebaik sahaja tiba di lokasi.


Dengan yuran serendah RM35, kesemua peserta kemudian berpatah balik ke Bandar Perdana sebelum dihidangkan dengan juadah nasi serta lauk istimewa iaitu gulai daging rias pisang.


Antara yang memeriahkan program termasuk Tuah Cylcing Team BPF6, eFfOURs Cycling Crew BPF4, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kuala Muda, Majlis Belia Daerah (MBD) Kuala Muda dan para dermawan.


Beliau berkata, hasil kutipan kayuhan sebanyak RM5,000 disumbangkan untuk pembangunan masjid manakala RM4,000 diserahkan kepada Maahad Al-Iman untuk kerja-kerja naik taraf.


Menurutnya, jumlah kos keseluruhan pembinaan Masjid Kariah Bandar Perdana dianggarkan berjumlah RM7.6 juta di mana sehingga kini pihak jawatankuasa masih menerima sumbangan derma dan wakaf dari orang ramai.


Orang ramai boleh menderma melalui akaun Bank Islam bernombor 0211-401-000-4736.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]