Lancar Wajib Taksir Zakat Pendapatan

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Pelaksanaan Wajib Taksir Zakat Pendapatan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dengan kerjasama Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang dijangka dapat mengutip antara RM5 juta hingga RM10 juta tahun ini.


Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, usaha tersebut merupakan pendekatan membantu kira-kira 40,000 kakitangan awam dan swasta yang layak, namun masih belum menunaikan tanggungjawab serta kewajipan berzakat.


“Buat masa ini, PKZ Pahang mengutip RM120.6 juta daripada 83,166 pembayar zakat pendapatan dan harta melalui potongan gaji.


“PKZ Pahang juga akan mengumpul data pekerja di negeri ini dan menghantar borang taksiran kepada mereka dan perlu mengembalikan borang itu antara bulan Julai dan Ogos nanti,” katanya selepas melancarkan program tersebut di sini, semalam.


Turut hadir, Pengurus Besar Kanan PKZ negeri, Datuk Halidan Md Daud dan Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain.


Dalam pada itu, di majlis tersebut, PKZ turut menyampaikan Anugerah Kerjasama Terbaik (Kategori Sekolah) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana, Jerantut dan Sekolah Kebangsaan Maran.


Bagi Kategori Jabatan Kerajaan diterima Jabatan Kesihatan Lipis dan kategori Swasta diterima Isuzu-Hicom, Pekan.


Sementara itu, PKZ berharap lebih ramai majikan memberi peluang kepada mereka memberi penerangan kepada pekerja mereka mengenai kepentingan berzakat.

 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]