Mangsa langgar lari maut

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Seorang pemandu lori maut dipercayai menjadi mangsa langgar lari selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kampung Mengabang Telung, di sini, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, Mohd Faridsam Che Jusoh, 27, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa dari arah Batu Rakit menghala ke Kuala Terengganu untuk ke tempat kerjanya di Chendering.


Setibanya di tempat kejadian, dipercayai mangsa yang menunggang seorang diri tiba-tiba dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi juga dari arah sama sebelum tercampak ke laluan bertentangan.


Akibat rempuhan kuat itu, mangsa dari Tanah Merah, Kelantan dan motosikalnya tercampak ke tengah jalan lalu terkena bahagian hadapan sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.


Idris berkata, pemandu dan nombor pendaftaran kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai melanggar mangsa belum dapat dikenal pasti.


“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Sek 41(1) APJ 1987,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]