PBS kekal dicalonkan bagi kerusi Dun Matunggong

in Politik by


KOTA KINABALU – BN akan kekal meletakkan wakil dari Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Matunggong dalam PRU14 ini, kata Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, hari ini.


“Saya telah merujuk kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan perkara yang dinyatakan berkaitan peminjaman kerusi tersebut merupakan sekadar cadangan pihak tertentu sebagaimana yang pernah berlaku di beberapa tempat lain.


“Setelah diperjelaskan, pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen di Sabah adalah kekal ‘status quo’,” katanya dalam kenyataan di sini.


Menurut Musa yang juga Pengerusi BN Negeri, kedudukan dan peranan setiap parti dalam komponen BN perlu dihormati dan diiktiraf.


“Inilah pendirian BN Sabah dan inilah juga pegangan saya dalam memimpin Umno Sabah,” katanya.


Pada Isnin (9 April) lepas, Timbalan Perdana Menteri berkata, satu ‘formula’ diperlukan bagi meningkatkan undi majoriti BN di Parlimen Kota Marudu dengan merampas semula kerusi negeri Matunggong melalui satu cadangan untuk ‘meminjamkan’ kuota PBS itu kepada Umno. – Bernama


Source: SH Politik

[featured-video-plus]