Prihatin aspek keselamatan sepanjang PRU

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Organisasi media dan majikan termasuk agensi kerajaan yang terlibat dalam PRU14 disaran menitikberatkan soal keselamatan dan kesihatan pekerja (OSH) sepanjang menjalankan tugas di kawasan pilihan raya.


Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana mereka terdedah dengan bahaya sekiranya berlaku perkara tidak diingini di tempat yang ditugaskan kepada mereka.


Menurutnya, dalam melindungi pekerja, terdapat Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang menyentuh tanggungjawab majikan sesebuah organisasi terhadap aspek ini.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sekolah 2018 peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin, semalam.


Lam Thye berkata, majikan juga perlu menitik beratkan soal penyediaan peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada pekerja mereka bagi menjaga keselamatan ketika melaksanakan tugas.


Jelasnya, petugas media juga turut terdedah kepada risiko bahaya ketika bertugas dan mereka perlu mengetahui cara untuk melindungi diri sekiranya tercetus insiden tidak diingini di lokasi PRU.


“Aspek keselamatan ini penting dan saya nasihatkan pengamal media dapatkan maklumat dari laman sesawang www.dosh.gov.my berhubung tips keselamatan yang perlu amalkan,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]