RM12,000 tenggelam di dasar laut

in Edisi by


PULAU TIOMAN – Dalam usaha memulihara terumbu karang dan kepelbagaian hidupan marin di Pulau Tioman, sebuah bot nelayan lama telah ditenggelamkan berhampiran Pulau Renggis, di sini.


Nilai usaha itu bukanlah kecil kerana sebuah kumpulan usahawan terdiri daripada warga tempatan dan luar negara telah membeli bot berkenaan dengan harga RM12,000 daripada penduduk tempatan pulau peranginan itu.


Namun nilai itu sudah tentu sangat kecil berbanding dengan nilai khazanah marin untuk tatapan generasi sekarang dan akan datang.


Koordinator Reef Check Malaysia (RCM) di Pulau Tioman, Alvin Chelliah, berkata, kos berkenaan hanya untuk nilai bot dan jika dikira kos proses membersih, menunda hingga menenggelamkannya mencecah RM20,000.


Menurutnya, penyumbang dana itu merupakan sekumpulan usahawan yang merupakan penyelam dan kerap berkunjung ke Pulau Tioman.

Bot nelayan lama ketika proses menenggelamkannya.


“Mereka terfikir untuk melakukan sesuatu untuk Pulau Tioman dan telah berbincang dengan RCM bagi mengenalpasti apa yang sesuai.


“Jadi kami cadangkan supaya menenggelamkan tukun baharu kerana ia telah lama dirancang oleh RCM tetapi tiada dana, tak sangka mereka setuju dengan cadangan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.


Alvin berkata, proses menenggelamkan bot berjalan lancar dan paling menggembirakan ia tenggelam di dasar dengan kedudukan yang baik.


Katanya, pada peringkat awal mereka bimbang sekiranya bot itu terbalik atau tenggelam dalam kedudukan yang tidak cantik namun ia berjaya seperti yang dirancang.


“Kelancaran proses ini turut dibantu Angkata Pertahanan Awam (APM), Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang.


“Ketiga pihak ini berjaya mengawal keadaan kerana ketika proses menenggelamkan bot terdapat pelancong yang berada di Pulau Renggis,” katanya.

Sekeping plak turut dilekatkan pada bot berkenaan yang menjelaskan usaha kumpulan usahawan itu bersama RCM dan fungsinya sebagai tukun baharu.


Dalam pada itu, Alvin turut memberitahu bahawa rancangan RCM sebenarnya mahu menenggelamkan lebih banyak bot bukan sahaja di taman laut, bahkan di luar kawasan.


Katanya, bot berkenaan boleh berfungsi sebagai unjam yang mampu menarik pelbagai hidupan marin terutama ikan.


Bagaimana pun, Alvin berkata, setiap bot yang hendak ditenggelamkan itu memerlukan kos dan pihak RCM tiada dana sabaliknya bergantung dengan sumbangan seperti yang dilakukan kumpulan usahawan ini.


“Apabila banyak ikan berada di unjam ini, ia boleh menjadi lokasi memancing bagi penduduk tempatan dan juga pelancong sekali gus tidak menjejaskan kawasan taman laut.


“Selain itu, kini sudah ada penduduk yang menyediakan pakej memancing di luar kawasan taman laut dan ini boleh menjana pendapatan mereka,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]