RM4.9j untuk jambatan baharu

in Edisi by


TELUK INTAN – Sebanyak RM4.9 juta diperuntukkan kerajaan bagi menggantikan Jambatan Sungai Ayer Kuning, Jalan Changkat Jong – Bidor demi keselamatan dan keselesaan pengguna.


Presiden Gerakan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, projek menggantikan jambatan berkenaan dilaksanakan ekoran jambatan sedia ada terlalu sempit dan sering berlaku kemalangan.


“Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) ini penting kerana ia merupakan antara jalan masuk utama ke Teluk Intan, lebih-lebih lagi bila laluan pintas Ladang Bikam ke Sungkai dibuka.


“Berdasarkan statistik yang saya terima secara purata sebanyak 11,788 buah kenderaan melalui jalan ini setiap hari jadi sudah pasti jambatan sedia ada perlu dilebarkan dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Ayer Kuning, baru-baru ini.


Menurut Siew Keong lagi, pembinaan jambatan berkenaan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dan untuk sementara waktu pengguna perlu bersabar dengan kerja-kerja pembinaan yang mungkin menyebabkan perjalanan mereka di laluan tersebut kurang selesa.


“Jambatan baharu ini dibina untuk meningkatkan faktor keselamatan penduduk setempat bagi menjalankan aktiviti domestik harian selain melancarkan pergerakan lalu lintas dan mengurangkan titik konflik kemalangan di kawasan berkenaan.


“Apa yang penting pengguna perlu bersabar sementara ia dalam pembinaan kerana ia adalah untuk keselesaan jangka masa panjang kita bersama terutamanya dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak dan musim perayaan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]