Senarai calon sebenar hanya pada PM

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGNU – Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menegaskan senarai nama calon BN di Terengganu yang bakal bertanding pada PRU14 kini hanya berada pada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden BN.  


Beliau menyerahkan kepada masing-masing untuk menilai sendiri senarai nama yang tular dalam aplikasi WhatsApp yang dikatakan sebagai senarai calon untuk bertanding pada PRU14 nanti.


“Terpulang pada masing-masing ingin percaya atau tidak.  Tetapi senarai nama yang sebenar hanya ada di tangan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).  Kita tunggu dan lihat.  Namun masa masih ada, macam-macam boleh berlaku.


“Tetapi, InsyaALLAH, akan dipastikan bahawa calon-calonnya adalah calon yang terbaik,” katanya mengulas berhubung tersebar senarai nama calon untuk 32 Dun dan lapan Parlimen di Terengganu yang menghangatkan lagi teka-teki senarai nama yang sebenar menjelang majlis pengumuman calon tidak lama lagi.


Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-39 Dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM 2017 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.


Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan lanjut berhubung dengan pertemuan dengan Perdana Menteri di kediaman rasmi, Kompleks Seri Perdana yang turut dihadiri oleh semua Menteri Besar, kelmarin.


Difahamkan, pertemuan tertutup yang dipercayai berkaitan PRU14 itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Sementara itu, ditanya berhubung kedudukannya yang dikatakan  akan bertanding pada kerusi Parlimen, Ahmad Razif akur dengan apa sahaja keputusan oleh pucuk pimpinan dan menerima apa sahaja keputusan.


“Yang penting adalah parti bukan personel kita. Yang penting adalah BN.   Jadi di mana sahaja nak letak saya, saya tiada masalah.  Kita sebagai seorang pejuang yang setia pada parti, akan tetap menerima,” katanya.


Sementara itu,beliau juga memaklumkan, kehadiran Ahmad  Zahid sempena Pelancaran Jentera Pilihanraya Hulu Terengganu dan juga Manisfesto BN negeri Terengganu, sebagai komitmen awal.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]