Tiada rezeki TFC II

in Sukan by


PASUKAN Terengganu FC II (TFC II) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila berdepan kekalahan 0-2 ketika turun melayan kunjungan Felda United apada aksi keenam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.


Pengendalinya, Mustaffa Kamal Abd Wahab mengakui mereka mampu menyaingi pasukan pelawat bagaimanapun kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya menjadi pemisah buat mereka untuk mengutip sekurang-kurangnya satu mata di hadapan penyokong sendiri.


Menurutnya, pemain berjaya mempamerkan aksi terbaik sepanjang permainan namun keputusan perlawanan tidak memihak kepada mereka.


“Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan pemain pada perlawanan ini dengan aksi seimbang dan pelawat membuka jaringan menerusi sepakan penjuru di saat-saat akhir sebagaiman berlaku di Sarawak sebelum ini.


“Keadaan ini membuatkan mereka lebih bersemangat ditambah pula dengan jaringan kedua menerusi sepakan penalti, tetapi pemain kita berjaya memberi saingan dan berjaya mencipta tiga peluang untuk menjaringkan gol namun gagal disempurnakan dengan kemas,” katanya.


Pada pertemuan itu, kem pelawat terlebih dahulu mencemaskan gawang tuan rumah menerusi percubaan Gilberto Valdenesio Fortunato seawal minit keenam, bagaimanapun tandukkannya tepat ke dakapan Mohd Suhaimi Husin.

Pergerakan jentera serangan TFC II, Akanni dikawal rapi benteng pertahanan Felda United sepanjang saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.


Begitupun, tuan rumah turut menguji pintu gol pelawat menerusi percubaan Akanni Sunday tetapi rembatannya sekadar menerjah bahagian tepi jaring gol.


TFC II  yang menggandakan asakan hampir membuka jaringan menerusi dua percubaan mencemaskan Mohd Fakhrurazi Musa (minit 14) dan pemain muda Mohammad Rahmat Makasuf (minit 15) namun gagal menepati sasaran.


Tuan rumah yang hampir mengikat kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan bagaimanapun dikecewakan kapten pasukan pelawat, apabila Muhammad Shukor Adan berjaya menjaringkan gol pembukaan Felda United untuk kedudukan 0-1 pada masa tambahan.


Kelebihan itu dimanfaatkan sebaik mungkin Felda United untuk terus memperkukuhkan kedudukan selaku peneraju carta liga apabila Thiago Augusto Fernandes berjaya meledakkan gol kedua pelawat pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti sekaligus meraikan kemenangan 2-0  di gelanggang lawan.


Ketiadaan dua tonggak utama jejaskan rentak pasukan


Mengulas lanjut, Mustaffa Kamal berkata, ketiadaan dua tonggak utama pasukan Bruno Junichi Suzuki dan Mohammad Haidhir Suhaini yang kini memperkuatkan pasukan utama TFC dalam saingan Liga Super jelas merencatkan sedikit pasukan terutamanya di bahagian serangan.


Katanya, kehadiran Lee Jun-hyeob bagi menggantikan Bruno Suzuki masih memerlukan sedikit lagi masa untuk lebih serasi dengan corak permainan pasukan.


“Bagaimanapun bersyukur apabila pemain muda yang dibawa masuk seperti Mohammad Rahmat Makasuf sudah menunjukkan kematangan, selain gandingan mantap Mohd Radhi Yusof dan Habsullah Awang di bahagian pertahanan.


“Jadi kita akan segera memperkemaskan semula pasukan menjelang pertemuan dengan dengan Johor Darul Ta’azim pada Isnin depan agar pasukan tidak terus tercicir mata dan memperbaiki kedudukan carta liga,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]