Waris perlu buat semakan: Perkeso

in Edisi Johor by


MUAR – Perkeso Muar menggalakkan keluarga atau waris pencarum yang telah meninggal dunia datang ke pejabat bagi membuat semakan kelayakan hak yang ditawarkan pertubuhan berkenaan.


Pengurus Perkeso daerah, Redhuan Muda berkata, ia bagi mengelakkan waris mahupun ahli keluarga pencarum keliru atau terlepas pandang.


“Kita tahu masih ramai tidak sedar atau mengetahui mengenai faedah-faedah yang kita berikan kepada mereka.


“Kebanyakan mereka mengetahui Perkeso hanya melindungi pekerja yang menghadapi kecederaan atau kemalangan di tempat kerja.


“Tetapi sebenarnya kita turut menawarkan Faedah Pencen Penakat serta bantuan pengurusan mayat jika pencarum telah meninggal dunia walaupun kematian tidak berlaku dalam tempoh bekerja,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, Faedah Pencen Penakat adalah wang yang diberikan setiap bulan kepada waris berdasarkan beberapa syarat kelayakan.


“Antara syaratnya adalah pencarum haruslah mempunyai lebih 24 caruman. Kemudian kita akan membuat pengiraan untuk mengetahui kadar bayaran pencen yang harus diberikan kepada waris termasuk anak-anak secara bulanan.


“Selain itu, ramai juga pencarum yang tidak mengetahui fungsi bantuan pengurusan mayat. Bantuan bernilai RM1,500 ini adalah layak untuk semua pencarum yang meninggal dunia tidak kira latar belakang agama mereka.


Kita sarankan orang ramai datang ke pejabat Perkeso bagi membuat semakan dan mengetahui dengan lebih lanjut hak yang ada untuk mereka,” katanya.


Jelasnya, Perkeso Muar akan terus komited dalam menjaga kebajikan pencarum serta waris mereka bagi meringankan beban keluarga berkenaan setelah kematian individu terbabit.


“Kita akan terus beri pendedahan kepada orang ramai untuk memahami dengan lebih jelas mengenai perkara ini.


“Sebelum ini, beberapa taklimat juga telah diadakan di beberapa kilang-kilang sekitar daerah ini. Kita akan meneruskan inisiatif berkenaan dan sentiasa meminta pencarum agar menguar-uarkan perkara ini kepada ahli keluarga mereka nanti,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]