23 kawasan panas PRU14

in Edisi by


SELAMA – Polis Perak mengenal pasti 23 kawasan panas yang perlu diberi perhatian di seluruh negeri  ini menjelang PRU14.


Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, daripada jumlah tersebut empat kawasan dikategorikan kawasan paling panas akan dipantau bagi mengelak berlaku sebarang kekecohan sepanjang proses PRU14  berlangsung.


Menurutnya, pollis akan sentiasa memantau kawasan tersebut dengan teliti agar tidak berlaku kekecohan yang boleh memecahkan keamanan yang dinikmati masyarakat sekarang ini.


“Oleh itu, saya juga ingin menasihatkan orangbramai supaya tidak melakukan perkara yang boleh memecahkan keamanan kerana polis akan bertindaj tegas,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Selama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, di sini hari ini.


Dalam majlis tersebut, bekas Ajutan Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim, Kedah, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad, 44, dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Selama yang baharu berkuat kuasa hari ini.


Mohd Sabri mengambil alih jawatan yang disandang Deputi Superintendan Loo Lian Lay, 60, yang bersara wajib pada 15 April ini selepas berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia kira-kira hampir 42 tahun.


Dalam perkembangan berkaitan, Hasnan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti seramai 440 individu yang dilihat mampu memberi ancaman kepada keamanan dan keselamatan orang ramai.


“Daripada jumlah tersebut kira-kira 43 individu yang kebanyakannya merupakan penyokong sesebuah parti dikategorikan sebagai keutamaan kelas 1.


“Jadi kita akan kawal dan membuat pemantauan terhadap mereka berdasarkan kepada PRU lepas dan kegiatan mereka di dalam politik,” katanya.


Tambah Hasnan, sebanyak 90 peratus daripada 8,709 pegawai dan anggota Polis Perak akan ditugaskan sepanjang proses PRU14  berjalan selain 700 pegawai tambahan daripada Bukit Aman bagi mengawal ketenteraman dan keamaan orang ramai.


“Pihak polis sebenarnya  telah bersiap sedia 100 peratus sejak Jun 2016 lagi  dalam menghadapi sebarang ancaman dan kemungkinan yang akan berlaku sempena PRU14 nanti.


Beliau turut menasihatkan kepada bakal calon yang akan mengambil bahagian bertanding dan agennya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada serta tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.


“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengganggu proses pilihanraya berlangsung,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]