Ahmad Dusuki boleh berdakwah kembali di Selangor

in Edisi by


SHAH ALAM – Pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani bertekad untuk meneruskan dakwah yang baik di Selangor sebaik beliau diberi kebenaran semula untuk memegang tauliah mengajar agama Islam di Selangor.


Menurutnya, melalui kebenaran itu dia berharap dapat terus berdakwah dengan cara yang terbaik di negeri ini.


“Saya bersyukur pada Allah, semoga ujian ini tidak berpanjangan dan mudah-mudahan saya boleh terus berdakwah dengan cara yang baik.


“Saya akur kepada permintaan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya patuh kepada peraturan yang digariskan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian petang tadi.


Terdahulu, Mais membuat keputusan Ahmad Dusuki dibolehkan terus memegang tauliah mengajar agama Islam atau apa-apa mengenai Islam di dalam Selangor.


Perkara itu dimaklumkan melalui satu surat kepada Ahmad Dusuki hari ini.


Mengulas berkenaan surat itu, pendakwah yang berasal dari Kelantan itu berkata, dia menerima surat itu sekitar jam 12 tengahari tadi yang diserahkan wakil Mais di pejabatnya di Seksyen 7, di sini.


“Dugaan kali ini berlainan daripada sebelum ini, namun begitu saya ajar diri saya supaya banyak bersabar kerana saya percaya ada perkara positif di sebalik ujian yang saya lalui ini.


“Bila tauliah saya ditarik sebelum ini, saya tidak tergopoh gapah dan gelojoh mempersoalkan apa yang berlaku, sebaliknya saya hadapinya dengan tenang dan berlapang dada,” katanya.


Ahmad Dusuki yang menjadi pendakwah sejak 18 tahun lalu berkata, pihaknya percaya selepas ujian ini dia akan menerima perkhabaran yang baik dari Allah.


Sebelum ini, Mais menggantung tauliah mengajar pendakwah terkemuka, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkuat kuasa serta merta.


Pemakluman itu dibuat menerusi satu surat rasmi yang ditandatangani Setiausaha Jawatankuasa Tauliah Mais, Mohd Shahzihan Ahmad.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]