Atlet gagal menyerlah berdepan digugurkan Sukan Asia 2018

in Sukan by


PENOLONG Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi melihat mana-mana atlet yang gagal mencapai prestasi ditetapkan pada temasya Sukan Komanwel 2018 yang sedang berlangsung bakal berdepan kemungkinan digugurkan dalam Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.


Jelasnya, selepas kontinjen pulang dari temasya di Gold Coast, Australia semakan mengenai prestasi atlet akan dilakukan untuk melihat sejauhmana prestasi.


“Selepas berakhir Komanwel, sudah pasti prestasi atlet-atlet akan dinilai dan jika gagal menepati standart yang ditetapkan mereka mungkin berdepan pengguguran dalam temasya Sukan Asia Jakarta Pelembang nanti,” jelasnya.


Pada masa sama Kok Chi juga yakin sasaran tujuh pingat emas pada Sukan Komanwel 2018 mampu diraih kontinjen negara melalui beberapa acara yang menjadi tumpuan pasukan kebangsaan.


“Kita boleh dapat tujuh emas, masih ada acara terjun dan badminton serta boling padang yang menjanjikan kilauan emas, jadi saya yakin sasaran melebihi enam emas yang diraih pada temasya di  Glasgow empat tahun lalu mampu dicapai.


“Memang momentum pungutan emas agak perlahan tetapi ia akan berubah dari masa ke semasa,” jelasnya yang ditemui pada majlis Makan Malam Pembukaan Kejohanan Bola Tampar Terbuka Malaysia 2018 di Intekma Resort, Shah Alam, malam tadi.


Mengulas hasrat Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang mahu sukan bola tampar turut disenaraikan pada temasya Sukan Asia Jakarta Palembang nanti, Kok Chi menyokong penuh hasrat tersebut.


“Saya sokong kerana mereka ada dalam Sukan SEA jadi sudah tentu impian mereka ingin pergi lebih jauh dengan temasya Sukan Asia, bagi saya tiada masalah, kalau mampu bayar sendiri boleh cuba untuk bagi peluang kepada pemain muda diperingkat lebih tinggi,” jelasnya.


Sementara itu, Presiden MAVA, Datuk Benny Hoe berkata selepas dua tahun tidak diadakan kejohanan seumpama ini, 2018 adalah tahun terbaik buat semua atlet mempamerkan aksi dalam pasukan masing-masing.


“Mereka yang hadir menyertai pasukan negeri saya lihat mempunyai semangat dan keazaman tinggi meraih kejayaan. Melalui kejohanan seumpama ini kami akan menilai prestasi pemain-pemain untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.


Kejohanan ini berlangsung pada 11 hingga 15 April ini 11 pasukan bagi kategori lelaki dan tujuh wanita disertai wakil-wakil negeri.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]