Beri latihan kemahiran pada pekerja

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Pemain industri disarankan memberi latihan kemahiran kepada pekerja mereka dalam usaha melahirkan tenaga mahir dan pakar bagi memenuhi permintaan pasaran masa kini.


Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, disebabkan itu pemain industri perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan pihak kerajaan melatih pekerja mereka.


Menurutnya, ini kerana pemain industri sebenarnya lebih fleksibel, responsif kepada perubahan pasaran, justeru peluang untuk melatih pekerja perlu bagi menginovasi produk atau perkhidmatan yang mereka jalankan.


“Kaedah yang terbaik untuk mereka mempercepatkan inovasi mereka adalah dengan mengadakan bekerjasama bersama agensi kerajaan menerusi sistem latihan di bawah kelolaan kerajaan.


“Saya yakin kerajaan boleh memberi peruntukkan yang bersesuaian kepada pemain industri yang mahu menambahkan kemahiran dan kepakaran para pekerja mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media selepas merasmikan Pembukaan Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia Zone Timur di perkarangan stadium Darul Makmur, hari ini.


Turut hadir Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Nidzam Kamarulzaman.


Dijangka seramai 15,000 pengunjung akan hadir pada majlis yang berlangsung selama empat hari itu.


Norol Azali berkata, selain pemain industri, NGO seperti Kesatuan Sekerja perlu melihat kepentingan latihan kemahiran ini, dan mereka tidak seharusnya menekankan aspek kenaikan gaji, elaun dan sebagainya.


Menurutnya, latihan kemahiran juga perlu diperjuangkan oleh mereka sebagai kebajikan pekerja dalam usaha menambah kepakaran dalam pelbagai bidang yang terdapat di negara ini.


“Ini patut diutamakan oleh kesatuan dalam usaha meningkatkan kemampuan diri mereka (pekerja).. malah majikan juga perlu memberi masa yang mencukupi kepada pekerja mereka untuk menjalani latihan kemahiran.


“Namun begitu, segala peruntukan untuk mengadakan latihan tersebut boleh dilakukan menerusi perbincangan dan hasil kerjasama dengan pihak kerajaan,” katanya.


Sementara itu, Nidzam berkata, karnival ini diadakan bagi mempromosikan TVET  kepada orang ramai dan menjalankan kerjasama strategik antara semua pihak.


Jelasnya, penganjuran ini adalah untuk menarik lebih ramai belia supaya menceburi bidang kemahiran sebagai pilihan kerjaya  dan menggalakkan penyertaan industri dalam program peningkatan kerjaya kemahiran.


“Ia juga memberi peluang kepada agensi awam dan swasta mempromosikan produk dan kursus kemahiran yang ditawarkan,” katanya.

 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]