Bimbang masa depan kelam

in Edisi Utara by


POKOK SENA – Seorang pelajar memohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi penjelasan segera berkaitan status kerakyatannya yang masih tergantung sehingga kini.


Nimuhammad Amran Che Loh, 13, yang bersekolah di pekan ini berkata, kedudukan statusnya hingga hari ini menyebabkan dia sering bingung selepas tidak mendapat sebarang jawapan dari JPN sejak 2015 lagi.


Katanya, dia sering rasa terpencil dengan keadaan kehidupannya hari ini kerana tidak mendapat sebarang bantuan seperti rakan sekolahnya yang lain.


“Setiap kali mereka gembira dapat pelbagai bantuan saya sedih sebab saya tak dapat apa-apa. Sedangkan bapa saya juga rakyat Malaysia dan semua dokumen diri semasa lahir sudah cukup sebagai rakyat di negara ini.


“Saya bimbang jika status kerakyatan ini masih tergantung sudah pasti kehidupan saya masa hadapan adalah seperti pendatang asing sahaja,” katanya.


Ibunya, Yaweena Che Loh, 37, berkata, anaknya itu pernah memohon kewarganegaraan pada November 2015.


Katanya, ketika mengandung, dia bercerai dengan suaminya pada 2004 dan pulang ke kampung di Narathiwat, Thailand.


“Semasa mengandung saya buat pemeriksaan dan buka rekod kesihatan di Kelantan. Bagaimanapun selepas bercerai dan keadaan saya terlalu terdesak di Kelantan, saya terpaksa pulang ke kampung hinggalah melahirkan anak sulung itu pada 5 Mei 2005.


“Kemudian pada September 2005, saya menikah sekali lagi dan kami terus tinggal di Pokok Sena. Pada 2010 suami saya pergi ke JPN untuk memohon status kerakyatan anak saya itu dan pihak berkenaan mengarahkan supaya memohon status anak angkat.


“Alhamdulillah, permohonan itu sudah diluluskan dan anak saya dapat belajar di sekolah di sini selepas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) beri surat kebenaran untuk belajar,” katanya yang tinggal di Kampung Kejai B, Mukim Gajah Mati di sini.


Menurut Yaweena, dia dan suaminya, Md Zain Mehat, 47, sudah beberapa kali pergi ke JPN bagi mengetahui status kerakyatan anaknya itu.


“Semasa di sekolah rendah dia tak dapat sebarang bantuan, malah terpaksa bayar yuran RM120 setiap tahun. Kini belajar di sekolah menengah kami terpaksa bayar RM240 setahun,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]