BN vs Pakatan Harapan, mana lebih ‘menggoda’ anak muda?

in Politik by


SHAH ALAM – BN mahupun Pakatan Harapan (Harapan), kedua-duanya mempunyai kelebihan masing-masing untuk mendapatkan undi anak muda.


Menurut Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan, BN membuat tawaran yang realistik yang dilihat mampu menarik perhatian anak muda untuk mengundi BN.


“Saya lihat jaminan anak muda dalam tawaran BN kepada mereka amat menarik sekali dalam konteks realiti.


“BN misalnya menerusi program mereka, beri jaminan enam bulan akan ditawarkan pekerjaan, kita tawar juga program keusahawanan selain membantu anak muda di luar bandar untuk mendapatkan kerja,” katanya, dalam Program Live Sinar Harian, di sini, hari ini.


Justeru tegasnya, pendekatan ini dilihat dapat memikat pengundi muda untuk terus memberi sokongan kepada BN.


“Satu manifestasi yang amat menyeluruh, bukan teori, kita benar-benar mahu mengubah nasib anak muda,” katanya lagi.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, anak muda akan ‘terpikat’ dengan Harapan kerana kesungguhan parti itu dalam memacu ekonomi negara.


“Isu pokok adalah ekonomi yang Harapan percaya menjadi isu yang menekan rakyat kita, ia disebabkan oleh faktor salah tadbir urus negara oleh kerajaan sedia ada.


“Sebab itu, Harapan akan mansuhkan GST (cukai barang dan perkhidmatan)… bagi saya rancangan BN tidak selesaikan masalah, jadi insya-ALLAH kita yakin Harapan mampu menarik undi anak muda kerana pada asasnya Harapan bersedia untuk mereformasi ekonomi negara,” katanya.


Terdahulu, BN dan Pakatan Harapan kedua-duanya telah melancarkan manifesto mereka yang dilihat mesra anak muda.


Antaranya BN berjanji untuk menyediakan buat belia di bawah umur 30 tahun, pekerjaan atau latihan yang berkaitan untuk digunakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.


Selain mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Bootcamp TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).


Untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah yang menganggur menerusi program ‘Perintis Malaysia’ dalam lima industri perintis.


Manakala Harapan pula, berjanji untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan dengan gaji bulanan sekurang-kurangnya RM2,500 dalam lima tahun pertama pentadbiran.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]