Cikgu 'sporting' ikut tema

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Bulan Akademik di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan (SMPKVK) bertemakan Kesultanan Melayu menonjolkan kelainan apabila guru-guru mengenakan pakaian pada zaman Kesultanan Melayu.


Paling menarik, sikap sporting guru terhadap tema yang dipilih pelajar.


Pengetuanya, Amran Kamal berkata, sekolah itu mempunyai tiga bidang akademik iaitu Bahasa, Kemanusiaan dan Matematik.


Katanya, setiap tahun mereka mengadakan sambutan bulan masing-masing.


Menurutnya, sambutan berasingan memerlukan komitmen, masa, tenaga dan kewangan.


“Justeru, untuk julung kalinya tiga bidang ini bergabung  atas nama Bulan Akademik dan melaksanakan aktiviti yang boleh disertai semua warga sekolah.


“Pelbagai aktiviti dirancang oleh panitia akademik agar pelajar bukan sahaja berkemahiran, malah menambah pengetahuan dalam mata pelajaran-mata pelajaran bidang akademik,” katanya pada Pelancaran Bulan Akademik Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan (SMPKVK), semalam.


Hadir sama, Penolong Kanan Pentadbiran SMPKVK, Najib Muhamad dan Penolong Kanan Kokurikulum, Rohani Abdullah.


Amran berkata, program Bulan Akademik adalah untuk meningkatkan penguasaan terhadap mata pelajaran teras yang terdapat di sekolah ini selain  menimbulkan minat dalam kalangan individu untuk menguasai bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa isyarat.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]