Dun Paya Jaras : Amanah mungkin tukar kerusi dengan PKR

in Politik by


SHAH ALAM – Amanah mengesahkan bahawa PKR ada membuat permohonan dan menyatakan minat untuk bertanding di kerusi Dun Paya Jaras pada PRU14 nanti.


Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad berkata, namun begitu, segala keputusan berhubung calon yang bakal bertanding di kerusi berkenaan hanya akan diputuskan secara bersama menerusi perbincangan dengan parti-parti komponen Pakatan Harapan (Harapan) selepas ini.


“Setakat ini Paya Jaras telah dipersetujui diberi kepada Amanah namun timbul permohonan daripada PKR yang menyatakan minat terhadap kerusi itu dan mereka meminta untuk ditukarkan dengan kerusi lain.


“Perkara ini akan diselesaikan di peringkat jawatankuasa rundingan dan sekiranya cadangan untuk swap kerusi itu dipersetujui, kita akan dapat kerusi lain sebagai ganti,”katanya ketika sidang media¬† hari ini.


Walaupun Amanah dikatakan bakal meletakkan calon mereka di kerusi Dun Paya Jaras pada PRU14 nanti, namun timbul ura-ura mengatakan bahawa PKR turut berminat untuk bertanding di kawasan tersebut.


Spekulasi itu semakin bertiup lebih kencang apabila penyadang Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman sebelum ini mengumumkan untuk meninggalkan Pas dan menyertai PKR untuk bersama-sama barisan kepimpinan Harapan pada PRU14 nanti.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Khalid berkata Harapan terpaksa melakukan beberapa perbincangan dan perubahan kerusi selepas proses persempadanan semula kawasan diterima serta dilaksanakan pada PRU14 kali ini.


“Kita kena buat some fine tuning. Kita masih berbincang benda ini dalam suasana harmoni untuk mencari penyelesaian terbaik.


“Dengan persempadanan baharu ini, kita kena lihat semula sama ada untuk kekalkan calon sedia ada, tukar kerusi atau lain-lain lagi,”katanya.


Dalam pada itu, Khalid yang juga merupakan penyandang ahli Parlimen Shah Alam turut memaklumkan bahawa kedudukan beliau di kerusi berkenaan masih belum dimuktamadkan lagi buat masa ini.


Tambah beliau, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada warga Shah Alam yang telah memberi peluang kepadanya untuk memberi khidmat kepada rakyat selamat ini.


“Sama ada saya bertanding atau tak, itu belum muktamad lagi sehingga saya menerima watikah. Dan yang penting perjuangan mesti diteruskan untuk tentukan negara akan bertambah baik dari semua sudut.


“Kalau ditawarkan saya terima dan kalau tak ditawarkan pun saya akan terus bersama untuk sokong siapa sahaja calon yang dipilih di kerusi ini,”katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]