
SABAK BERNAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor serius melaksanakan operasi harian tujuh kesalahan utama pengguna jalan raya termasuk penggunaan telefon bimbit semasa berada di jalan raya.
Pengarahnya, Nazli Md Taib berkata, penguatkuasaan itu dilakukan secara berterusan bagi mengenal pasti mereka yang masih tidak menghiraukan keselamatan jalan raya.
“Selalunya, kita membuat rondaan dan penyamaran untuk menahan mana-mana pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan ini.
“Malah, apabila ditahan, kebanyakan daripada mereka mengaku menggunakan gajet,” katanya ketika ditemui pada Perkhemahan Kadet JPJ Daerah Sabak Bernam, di Pusat Kecemerlangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, di sini.
Nazli berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi Kaedah 17A (1), Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang memperincikan larangan kepada semua pemandu agar tidak menggunakan telefon bimbit atau apa-apa alat komunikasi lain melainkan ia digunakan melalui alat tanpa perlu dipegang.
Katanya, denda maksimum RM300 dikenakan kepada pengguna jalan raya sekiranya didapati bersalah menggunakan gajet ketika memandu.
Dalam pada itu, katanya, penubuhan pasukan kadet JPJ di seluruh sekolah menengah di negeri ini bakal diperluaskan pada tahun depan.
Katanya, perlaksanaan kadet JPJ yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu itu membabitkan tujuh daerah di negeri ini.
“Kita menyasarkan untuk menubuhkan kadet JPJ di tiga daerah lagi iaitu di Kuala Selangor, Sepang dan Gombak,” katanya.
Beliau berkata, matlamat utama penubuhan kadet JPJ adalah bagi melahirkan lebih ramai pelajar sekolah mempunyai ilmu asas tentang keselamatan dan undang-undang jalan raya.
“Penubuhan pasukan ini juga merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 yang menumpukan penglibatan peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah,” katanya.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]