Idris ke Parlimen atau kekal di Dun

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi pada PRU14 ini.


Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata, buat masa ini, kemenangan besar parti pada PRU14 lebih menjadi keutamaan berbanding kehendak peribadi.


“Setakat hari ini saya masih Pengerusi BN negeri, apa pun berlaku saya memegang amanah yang diletakkan pada bahu saya ketika ini.


“Sebagai Pengerusi BN negeri, Ketua Menteri dan Pengarah Pilihan Raya Umum BN Melaka, tanggungjawab saya ialah memastikan kemenangan BN pada PRU14,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kira-kira 58 ketua cawangan Umno Bahagian Tangga Batu di sini, tengah malam tadi.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kedudukannya sama ada untuk bertanding pada kerusi dewan undangan negeri atau parlimen pada PRU14 ini.


Mengulas lanjut, Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Tangga Batu berkata pemimpin pada semua peringkat termasuk akar umbi, diminta memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon yang diputuskan pucuk pimpinan tertinggi BN.


“Saya juga minta semua supaya berlapang dada dan memberi tumpuan untuk membantu kemenangan calon yang telah dipilih pada PRU14 nanti,” katanya.


Beliau berkata selain itu, ketua cawangan juga digesa mengelak terlibat dengan perbuatan sabotaj atau ‘cah keting’ pada semua peringkat struktur parti kerana ia bukan sahaja merosakkan imej parti, malah dikhuatiri menggugat kemenangan besar untuk BN.


“Saya yakin Umno punca segala kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang kepada BN serta segalanya perlu ditangani secara bersama dan tuntas,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata Manifesto BN Melaka yang akan dibentangkan esok bakal membawa pelbagai impak besar dalam semua aspek dan peringkat masyarakat untuk tempoh lima tahun akan datang.


Idris berkata antaranya ialah kira-kira 10,000 peluang pekerjaan baharu bakal menanti penduduk negeri dengan jumlah pelaburan melebihi RM30 bilion.


Katanya keluaran dalam negara kasar juga dijangka meningkat antara 10 hingga 25 peratus menerusi pelbagai pembangunan awam dan swasta di negeri itu dalam tempoh tersebut.


“Manifesto ini bertemakan ‘Bersama Mencipta Kegemilangan’ dan ia mengambil masa lebih enam bulan untuk disiapkan serta telah mengambil kira pelbagai perkara yang akan memberi manfaat cukup besar untuk rakyat Melaka,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]