Jangka raih projek TLDM RM1 bilion

in Bisnes by


BOUSTEAD Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) yakin mampu mendapat projek bernilai RM1 bilion daripada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak lama lagi yang akan meningkatkan nilai tempahan dalam tangan kumpulan itu kepada lebih RM7 bilion.


Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor berkata, pada masa ini gabungan nilai tempahan diterima oleh BHIC dan syarikat sekutunya adalah kira-kira RM6.2 bilion.


“Kita kini di peringkat akhir perbincangan dengan TLDM dan menyasarkan untuk memperoleh projek bernilai RM1 bilion daripada mereka. Pengumuman mengenainya akan dibuat pada minggu depan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Petaling Jaya, Selangor.


Mengulas selanjutnya Ahmad Ramli berkata, kumpulan itu juga dalam proses mendapatkan kontrak yang berpotensi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia bagi memperluaskan lagi jangkauannya.


“Selain itu, kita juga berusaha untuk Program Transformasi Armada ‘15-to-5’ TLDM bagi jangka pertengahan dan berharap dapat menjadi rakan pembangunan projek program tersebut,” katanya. -Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]