JKR bertindak pantas baiki jalan

in Edisi Pahang by


MARAN – Tindakan pantas Jabatan Kerja Raya Daerah (JKR) Maran membaiki kerosakan jalan laluan FT64 – Kuala Sentul Seksyen 135.50, semalam melegakan penduduk.


Ini kerana menurut pengguna, Wan Sazli Helmi Wan Husin, 33, laluan itu digunakan oleh kebanyakan penduduk dan juga para peniaga yang berulang-alik dari Jengka ke Maran setiap hari.


“Kerosakan di laluan itu membimbangkan kerana kedudukannya berdekatan selekoh dan jalan di situ agak sempit serta berbukit.


“Jika kenderaan bergerak laju sebelum selekoh, mereka terpaksa memperlahankan kenderaan secara mengejut ekoran permukaan jalan yang rosak dan mendap. Ia membahayakan pengguna. Mujur sudah diletakkan papan tanda amaran dan kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan,” katanya.


Jurutera JKR Daerah Maran, Mohd Zaky Zakaria berkata, punca kerosakan jalan tersebut adalah disebabkan oleh taburan hujan lebat yang berterusan sejak awal tahun 2018.


“Selain itu pergerakan air bukit yang melintasi jalan juga faktor muka bumi mengakibatkan kerosakan tersebut. Siasatan pihak JKR juga mendapati terdapat kerosakan paip di bawah jalan.

Mohd Zaky


“Tindakan awal telah diambil dengan memasang papan tanda amaran, meletakan crusher run sementara dan menampal kerosakan jalan. Untuk makluman tindakan pembaikan kekal segera juga dalam tindakan pihak JKR,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.


Menurut Mohd Zaky, peruntukan berkala pavemen fasa dua telah memperuntukkan sebanyak RM300,000 dab telah diluluskan di kawasan tersebut dan pembaikan beberapa kawasan yang mendap dan rosak akan dilaksanakan seberapa segera oleh pihak JKR Maran.


Katanya, peruntukan tersebut akan digunakan dari Seksyen 135 hingga ke Seksyen 145.


“Tarik mula dirancang adalah 18 April dan siap dirancang pada 30 April ini. Untuk pembaikan jangka panjang, jalan tersebut memerlukan pembinaan yang melibatkan peruntukan yg tinggi dengan membuat longkang dan pembetung bagi mengalirkan air dari bukit supaya kerosakan jalan dapat di atasi.


“Jalan yang mempunyai kerosakan fungsi dan struktur perlu dibaiki dengan kaedah yang sesuai yang juga memerlukan peruntukan yang tinggi. Pihak kami akan menghantar ‘notice of defect’ (NOD) untuk permohonan peruntukan,” katanya.


Mohd Zaky menjelaskan Jalan FT 64 Seksyen 133.00 hingga 138.00 memerlukan kos berkala pavemen bernilai RM1.2 juta untuk tujuan membaiki kerosakan fungsi dan struktur manakala kos berkala bukan pavemen adalah diperlukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf longkang dan pembetung.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]