Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah abaikan Balik Pulau

in Politik by


BALIK PULAU – Sejak 2008, ketika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan di Pulau Pinang, kerajaan negeri membina lebih 2,000 unit rumah kos rendah dan sederhana di Parlimen Balik Pulau untuk dinikmati rakyat di kawasan tersebut.


Exco Perumahan Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo  berkata, beberapa pemaju yang dipilih secara tender terbuka telah membina rumah-rumah berkenaan di Pulau Betong, Teluk Kumbar, Kuala Jalan Baru serta Jalan Air Putih.


Menurutnya, beberapa projek juga telah diluluskan untuk dibangunkan dalam masa terdekat sebelum ia dibuka untuk ditawarkan kepada pemohon yang layak.


“Sebagai contoh, projek yang dibangunkan oleh Syarikat Pemaju Kay Pride di Pulau Betong menyediakan 666 unit rumah kos rendah dan 63 unit kos sederhana rendah. Projek itu sudah siap dan akan diduduki oleh pemohon yang layak.


“Selain itu, syarikat Ideal Property juga membina 871 unit rumah kos rendah di Kuala Jalan Baru dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Sementara di Kuala Jalan Baru pula, 250 unit rumah kos rendah sudah siap yang mana, pemohon yang berjaya telah mula berpindah masuk,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab Ketua Umno Bahagian Balik Pulau, Dr Hilmi Yahya yang mendakwa kawasannya dipinggirkan.


Tambahnya, 133 unit rumah kos rendah setinggi sembilan tingkat di Jalan Air Putih telah siap untuk diduduki oleh pemohon yang layak.


“Sehingga kini, lebih 2,000 unit rumah telah dibina dan jumlah ini dijangka meningkat jika rakyat terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk memerintah. Banyak projek yang telah diluluskan dan akan dilaksanakan.


“Tidak benar jika BN mengatakan kerajaan negeri meminggirkan kawasan Balik Pulau,” katanya.


Jagdeep berkata, di Teluk Kumbar,  satu lagi projek perumahan mampu milik akan disiapkan yang merangkumi 694 unit.


“Ia terdiri daripada 346 unit rumah kos sederhana rendah pada harga RM72,500 dan juga skim perumahan mampu milik 100 peratus yang merangkumi 135 unit kos rendah (RM42,000); 135 unit kos sederhana rendah (RM72,500) dan 759 unit perumahan mampu milik.


“Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama sektor swasta akan memastikan bekalan rumah untuk rakyat tidak diabaikan. Sehingga kini, 75,631 unit rumah mampu milik termasuk kos rendah dan sederhana rendah telah dan sedang dibina dengan 25,555 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah telah siap dibina; 19,828 unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik sedang dibina dan 29,978 unit telah diluluskan untuk pembinaan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]