Lelaki ditahan miliki pelbagai jenis dadah

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan kerana memiliki dan mengedar pelbagai jenis dadah berbahaya 6.3 kg dianggarkan bernilai RM440,000, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, ketika ditahan, suspek sedang berjalan menuju ke kereta miliknya di Jalan Sutera 3, Taman Sentosa.


Katanya, pemeriksaan terhadap kereta suspek kemudiannya membawa kepada penemuan satu kotak rokok yang di dalamnya mengandungi 18 batang rokok yang berisi tumbuhan kering dipercayai ganja seberat 5.7 gram.


“Sejurus selepas itu, sepasukan polis daripada bahagian narkotik JBS kemudiannya digerakkan ke bilik sewa milik suspek di Pangsapuri Seri Bayu, di sini lalu yang membawa kepada lebihan dadah yang dimilikinya.


“Kami kemudiannya menemui satu paket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.04 gram, dua balutan barrel berwarna oren disyaki dadah, empat paket ganja seberat 33.38 gram, tujuh balutan barrel berwarna hitam disyaki dadah, dua balang kaca berisi dadah jenis syabu seberat 6.146 kilogram dan dua plastik lutsinar berisi bahan hablur dipercayai syabu seberat 25.07 gram,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah JBS, di sini, sebentar tadi. Shahurinain berkata, polis turut bertindak merampas beberapa barang berharga seperti 14 utas jam tangan, seutas rantai dan subang berserta wang tunai berjumlah RM1,700.


Jelasnya, hasil siasatan awal tidak menafikan suspek merupakan pembekal aktif di sekitar Johor Bahru Selatan sejak beberapa bulan lalu.


“Suspek ini sebenarnya baru keluar penjara dua bulan lalu dan dia kembali melakukan kesalahan ini.


Daripada rekod yang ada suspek juga mempunyai 13 kesalahan lampau bersabit kes dadah,” katanya.


Berkenaan barrel yang ditemui, Shahurinain berkata, kegunaannya adalah untuk memindahkan dadah dengan memasukkannya ke dalam tubuh manusia bagi mengelakkan ia dikesan pihak berkuasa.


Beliau juga tidak menafikan suspek mempunyai hubungan dengan rangkaian pengedaran dadah memandangkan kes terbabit masih berada dalam siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala suspek kini berada dalam tahanan reman sehingga 17 April ini.  




 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]