Nama Isa ada dalam senarai

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan yang bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad merupakan antara nama yang dihantar untuk bertanding dalam PRU14.


Menurutnya, Isa yang merupakan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dicadangkan oleh bahagiannya untuk dipertimbangkan bertanding namun keputusannya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.


“Memang nama beliau ada dalam senarai calon yang dihantar kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak, tapi bukan saya yang bagi nama itu.


“Lagipun saya telah minta yang nama setiap Ketua Bahagian itu perlu ada dalam senarai calon yang dicadangkan dan beliau (Isa) memegang jawatan itu. Tapi, bukan khusus untuk bertanding di Parlimen Port Dickson,” katanya, pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ulu Kanchong di sini, hari ini.


Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan 2, Senator Datuk Chong Sin Woon dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali.


Ditanya berkenaan desas desus berkemungkinan berlaku pertukaran kerusi antara Umno dan MIC di Parlimen Port Dickson dengan meletakkan Isa sebagai calon, beliau menjelaskan yang tidak tahu mengenai itu.


Menurutnya, seperti kenyataannya sebelum ini kerusi berkenaan kekal milik MIC, namun jika berlaku perubahan pada saat akhir ia adalah keputusan pucuk pimpinan parti.


“Sesiapa pun boleh buat spekulasi, tapi kenyataan saya tidak pernah berubah.


“Selain mempertahankan 22 kerusi Dun yang dimenangi pada PRU13, pada masa sama saya melihat lima hingga tujuh kerusi lain termasuk kerusi Dun Chua dan Sri Tanjung yang boleh dimenangi pada PRU14,” katanya.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]