Penantian lebih 20 tahun berakhir

in Edisi Johor by


PASIR GUDANG – Penantian lebih 20 tahun sebahagian keluarga daripada Kampung Cahaya Baru, di sini, berakhir apabila apabila permohonan mendapatkan hak milik tanah mereka diluluskan kerajaan negeri.


Penduduk, Hashimah Hashim, 58, berkata, dia sudah mendiami kawasan berkenaan sejak 60 tahun yang lalu bersama ahli keluarganya yang lain.


“Dari saya kecil hingga sekarang, akhirnya dapat juga kami merasa tanah milik kami.


“Tidak sangka sebenarnya permohonan kami kawasan kami diluluskan. Kini, kami semua ada harta untuk dipertahankan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Notis 5A Kampung Cahaya Baru Serta Surat Tawaran Tapak Rumah Generasi Kedua Kampung Kopok Baru, di sini, semalam.


Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.


Seorang penerima tawaran tapak rumah di Kampung Kopok Baru, Abdul Majid Asmay, 78, berkata, tawaran membeli tapak rumah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina kediaman selesa bersama isteri.


“Saya dah lebih 20 tunggu, bila dapat tawaran tapak rumah ini saya tidak lepaskan peluang untuk membelinya kerana harganya rendah daripada pasaran semasa.


“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.


Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, seramai 138 penerima mendapat manfaat daripada permohonan dua inisiatif yang diluluskan kerajaan negeri itu.


Katanya, pemberian notis dan tawaran tapak itu membuktikan bahawa kerajaan Johor tidak pernah membuat janji kosong.


“Pelaksanaan berterusan kerajaan negeri ini dapat mendekati, memahami dan melihat sendiri rakyat supaya tidak ada wujudnya jurang antara masyarakat, sekali gus memenuhi keperluan masyarakat.


“Ia antara perkara yang sangat penting kepada kehidupan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia juga antara perkara yang diperjuangkan mereka sekian lama,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]