Peniaga diperdaya beli kereta tak wujud

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga kerugian RM7,800 selepas diperdaya dalam urusan pembelian kereta terpakai yang tidak wujud menerusi satu laman web, Isnin lalu.


Lelaki berusia 33 tahun itu dikatakan melayari laman web berkenaan kira-kira jam 6 petang sebelum tertarik dengan tawaran harga sebuah kereta Perodua Myvi RM7,800.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa seterusnya berhubung dengan seorang lelaki melalui aplikasi Whataspp menggunakan nombor tertera di laman sosial tersebut.


“Lelaki itu meminta membuat bayaran deposit sebanyak RM500 sebelum mangsa bersetuju lalu membuat pembayaran ke dalam akaun bank diberikan.


“Kemudian, kira-kira jam 9.01 minit, mangsa dihubungi oleh lelaki tersebut memaklumkan kereta berkenaan rupanya sudah ditempah dengan membuat pembayaran penuh,” katanya.


Idris berkata, bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan akan membantu mangsa untuk mendapatkan semula kereta tersebut seandainya masih berminat tetapi akan menyerahkan semula wang deposit itu sekiranya sudah tidak berminat lagi.


“Mangsa terlalu teruja hendak mendapatkan kereta itu bersetuju untuk meneruskan pembelian tersebut dan enggan mengambil semula wang depositnya,” katanya.


Kata Idris, tanpa berfikir panjang mangsa terus bersetuju dan membuat pembayaran penuh seperti dimahukan sebelum diminta pergi ke kedai menjual kereta terpakai di Selangor.


“Bagaimanapun, jam 11.45 pagi semalam, mangsa diberitahu tiada nama individu dikenalinya  bekerja di situ.


“Lebih mengecewakan, lelaki tersebut juga tidak dapat dihubungi lagi,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]