Perabut kayu palet kreativiti dua sahabat

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Siapa sangka dari sekadar suka-suka menyertai Kelab Seni Landskap bagi memenuhi aktiviti kokurikulum, akhirnya membawa jalan kepada dua sahabat untuk menghasilkan perabot dan peralatan berasaskan kayu palet.


Menariknya, kedua-dua jejaka berusia 21 tahun ini, Muhammad Najmi Mohd Zabidi dan Mohd Haziq Mohd Zaidi adalah penuntut Diploma Teknologi Maklumat dan Pengaturcaraan di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, bidang yang jauh berbeza dengan apa yang diusahakan mereka sekarang ini.

Mereka turut membimbing junior menghasilkan rak kunci.


Malah, usaha mereka juga menyumbang kepada kejayaan Politeknik Seberang Perai yang merangkul Unit Keusahawanan Politeknik Terbaik di Malaysia dalam Majlis Anugerah Keusahawanan Politeknik 2017 yang berlangsung di Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Muhammad Najmi berkata, ketika menyertai Kelab Seni Landskap, mereka didedahkan dengan kayu palet, sehingga mendorong mereka untuk meneruskannya di bawah Projek Inkubator Usahawan 91 Degree Design Polywood.


Projek inkubator itu dimulakan akhir 2016, dengan bermodalkan RM13,000 merangkumi mesin, peralatan dan kayu palet.


“Dalam tempoh setahun setengah ini, kami telah menghasilkan kira-kira 10 produk, antaranya meja, kerusi, set meja makan, bekas pensel, cenderamata, rak kasut, rak kunci dan set pelamin.


“Kami bertuah kerana pensyarah yang juga mentor kami iaitu Ku Adnan yang banyak ajar kami cara-cara menghasilkan produk yang berkualiti berasaskan kayu palet. Begitu juga dengan pembimbing kami, Suliza Othman yang banyak menyumbang idea dan membantu mempermudah segala urusan kami,” katanya.


Bisnes kayu palet menguntungkan


Sementara itu, Haziq berkata, bisnes kayu palet itu amat menguntungkan kerana kayunya yang cantik dan berkualiti, selain kos yang rendah.


Katanya, perabot dan peralatan yang dihasilkan mendapat permintaan yang tinggi, bukan sahaja dari kalangan pensyarah, malah orang luar.

Meja cantik yang dihasilkan.


“Apa yang ‘best’ tentang projek inkubator ini ialah hasil daripada jualan yang kami buat, kami akan bayar balik modal yang dikeluarkan oleh politeknik kami. Tapi, selebihnya keuntungan itu kami akan dapat.


“Kami melihat potensi perusahaan kayu palet ini untuk berkembang. Selepas ini, kami bercadang untuk mengusahakannya sendiri dari rumah saya di Kepala Batas. Selain menjadi punca rezeki, saya lihat kami boleh menyumbang sesuatu dengan melatih orang kampung dan sama-sama dapat bekerja,” katanya.


Buka ruang kerjaya bidang usahawan


Ketua Unit Keusahawanan Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang, Suliza Othman berkata, sebelum ini, politeknik itu pernah memperoleh ‘Top 3’ Unit Keusahawanan Politeknik Terbaik di Malaysia.


Menurutnya, selain menjadi mentor pelajar, mereka mempunyai unit inkubatornya sendiri, selain membantu pelajar mendaftarkan perniagaan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Set meja yang dihasilkan.


“Selain membantu pelajar berniaga dan memberikan ilmu tentang keusahawanan, kita juga wujudkan ‘poli delivery’ dan pelbagai lagi, termasuk membuat kolaborasi di peringkat antarabangsa dan dalaman politeknik sendiri.


“Unit kami pernah memenangi anugerah sebelum ini dan wang kemenangan itu kami gunakan semula untuk pelajar dengan membuat projek inkubator, selain membeli mesin dan peralatan untuk mereka gunakan,” katanya.


Apa yang menarik, pelajar yang cemerlang dalam projek inkubator ini akan turut membantu dan membimbing junior mereka pula.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]