Perbelanjaan kerajaan beri manfaat besar

in Bisnes by


MANFAAT daripada perbelanjaan kerajaan boleh dilihat dalam pembangunan perindustrian rantaian bekalan bagi projek kereta api, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) Datuk Azman Mahmud.


Beliau berkata, membangunkan peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menyertai dalam rantaian bekalan syarikat multinasional di Malaysia telah menjadi usaha berterusan Mida.


“Menyedari pembangunan prasarana adalah pemangkin penting bagi menggalakkan pelaburan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, kami menggiatkan usaha untuk menggalakkan hubungan mapan antara pihak berkepentingan.


“Kami mahu menggalakkan pindahan teknologi canggih, meningkatkan peluang pekerjaan dan pembangunan tenaga kerja, serta mengekalkan pertumbuhan pemain industri tempatan, termasuk PKS dalam pelbagai sektor industri berkaitan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Rantaian Bekalan Kebangsaan mengenai Projek Rel, di Kuala Lumpur.


Persidangan itu menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada pemain industri, serta pihak berkuasa tempatan, dewan perniagaan dan kedutaan.


Azman yang berharap persidangan itu akan mewujudkan lebih banyak hubungan perniagaan dalam kalangan pemilik/pengendali rel dan Rakan Kongsi Penyediaan Projek dengan pemain industri sokongan rel dan PKS di Malaysia, berkata perkongsian strategik yang saling memberi manfaat ini akan meningkatkan ekosistem industri rel.


Bersempena dengan persidangan itu, Mida mengadakan dua Pameran Kerjaya bermula hari ini bagi memberikan peluang kepada pencari kerja untuk menghadiri temu duga terbuka.


Beliau berkata, acara itu disertai oleh 100 syarikat daripada pelbagai industri termasuk industri rel dan menawarkan 20,000 peluang pekerjaan.


Dalam usaha untuk memastikan ekosistem yang menyeluruh, beliau berkata MIDA juga telah memulakan siri seluruh negara untuk merangsang pembangunan taman-taman perindustrian.


Dalam konteks industri rel, Azman berkata Perbadanan Industri Kereta Api Malaysia bercadang untuk menubuhkan satu taman perindustrian khusus bagi menyelaraskan ekosistem rel.


Memandangkan kemajuan teknologi yang berterusan dalam industri rel, beliau berkata penting bagi pemain industri sokongan rel tempatan atau PKS untuk meningkatkan tahap kecekapan, mengukuhkan hubungan antara firma dan bergerak seiring dengan perubahan pasaran untuk terus kekal kompetitif dan menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan rel. -Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]