Perlis akan hasilkan lebih banyak produk berasas harumanis

in Edisi Utara by


KANGAR – Jabatan Pertanian Perlis akan mempelbagaikan produk berasaskan harumanis, terutama daripada buah yang gugur sebelum tempoh matang, bagi mengurangkan kerugian di samping melonjakkan populariti kepelbagaian mangga itu yang menjadi ikon negeri ini.


Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Low Wei Han berkata ​harumanis, yang merupakan hak milik eksklusif kerajaan negeri, akan diolah untuk menghasilkan lebih banyak produk baharu dalam bentuk  barangan makanan, keperluan harian dan kosmetik.


“Selepas ini kami akan lancarkan tambahan produk baharu bukan sahaja daripada buah yang masak, kita juga akan ambil buah yang gugur dan akan proses untuk hasilkan pelbagai produk,” katanya ketika ditemui  Bernama di Kafe Harumanis di Pusat Kecemerlangan Harumanis Bukit Bintang (PKHBB) dekat sini, hari ini.


Katanya untuk tujuan itu, satu kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang akan  dijalin bagi melakukan kajian untuk memanfaatkan buah yang gugur sebelum matang.


Beliau berkata produk-produk itu akan dihasilkan daripada tanaman harumanis yang diusahakan kerajaan negeri di PKHBB berkeluasan 24.37 hektar di Batu Pahat dekat sini.


Wei Han berkata, setakat ini orang ramai bukan sahaja boleh membeli buah harumanis terus daripada pusat itu malah berpeluang menikmati pelbagai menu berasaskan harumanis di kafe yang disediakan pihak ladang.


“Sekarang ini di kafe sudah terdapat menu yang berasaskan harumanis seperti pulut harumanis, aiskrim, dadih, dan kordial harumanis yang mendapat sambutan menggalakkan.


“Pihak kami juga akan turut bekerjasama dengan beberapa agensi pelancongan untuk mempromosikan harumanis kepada pelancong terutama dari luar negara seperti China.


“Konsepnya apabila pelancong datang ke sini mereka akan dapat menikmati pelbagai menu lain selain makan buah itu begitu sahaja,” katanya.


Beliau berkata inisiatif itu akan meningkatkan jumlah perbelanjaan pelancong di Perlis sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]