Rebut kemudahan disediakan Mara: Raja Muda Perlis

in Edisi Utara by


ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat agar merebut dan memanfaatkan kemudahan disediakan Mara bagi membangunkan sektor ekonomi, pendidikan serta sosial mereka.


Baginda bertitah Mara menawarkan pelbagai program, inisiatif dan bantuan,  antaranya untuk golongan usahawan bumiputera agar lebih maju dalam bidang perniagaan.


“Pelbagai program pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui ekosistem keusahawanan yang lengkap dan holistik dilaksanakan misalnya melalui kemudahan pembiayaan serta pembangunan keusahawanan disediakan.


“Selain itu, peluang tajaan pendidikan yang luas iaitu melanjutkan pengajian pada peringkat tempatan mahupun global juga disediakan melalui formasi pendidikan Mara,” titah baginda ketika berangkat merasmikan Program Budi Mara 2018 Peringkat Negeri Perlis di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini.


Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara Zulfikri Osman serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.


Pada majlis itu baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menerima sumbangan zakat perniagaan daripada syarikat Pelaburan Mara Berhad dan Rural Capital Berhad masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM4,000.- Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]