Suri rumah kerugian RM34,150 ditipu kenalan FB

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Seorang suri rumah yang terpedaya dengan kenalan di laman Facebook yang menabur janji palsu untuk memberikannya hadiah istimewa, terpaksa menanggung kerugian sehingga RM34,150.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 56 tahun itu diperdaya sindiket ‘Parcel Scam’, bulan lalu.


Menurutnya, mangsa yang berasal dari Tembangau, Bera, mula tertipu apabila berkenalan dengan suspek melalui Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Kadir Ibrahim.


“Mangsa sering berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan selepas beberapa hari berkenalan, suspek memberitahu dia sudah menghantar hadiah sepasang kasut sebagai tanda perkenalan.


“Isnin lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Nor Azira Ahmad memaklumkan barangan berkenaan sudah sampai di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Dalam pada itu, katanya, untuk mengambil barangan itu, mangsa perlu membayar caj penghantaran barangan berjumlah RM3,900 ke dalam satu akaun CIMB yang diberikan.


“Selepas mangsa menurut kehendak suspek, bagaimanapun suspek wanita berkenaan sekali lagi memaklumkan di dalam bungkusan hadiah itu terdapat wang sebanyak USD300,000 dan mangsa perlu membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) pula berjumlah RM7,900.


“Tanpa sebarang semakan, mangsa terus bertindak memasukkan wang berkenaan ke dalam akuan yang sama sebelum suspek sekali lagi memintanya membayar lagi cukai GST berjumlah RM22,350.


“Kerana terlalu percaya dan inginkan hadiah berkenaan, mangsa kemudian memasukkan wang dengan jumlah yang diberikan ke dalam akaun yang sama pada Selasa lalu,” katanya.


Sementara itu, katanya, selepas selesai melakukan semua transaksi yang diarahkan, mangsa telah gagal berhubung dengan Mohd Kadir.


“Mangsa yang berasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera untuk siasatan lanjut.


“Kita sudah mengambil keterangan mangsa dan mengenal pasti identiti pemilik akaun CIMB yang terbabit.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]