Tedung selar menyorok dalam longkang

in Edisi by


TANAH MERAH – Penduduk di Kampung Telaga Bijih gempar selepas dikejutkan dengan kehadiran seekor ular tedung selar seberat 10 kilogram yang dipercayai berada dalam longkang di sini.


Salah seorang penghuni kediaman di kawasan itu telah menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.


Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Mohd Fadli Hassan berkata, kejadian pada jam 6.30 petang itu disedari orang awam yang melihat ular berkenaan dalam longkang.


“Apabila kita sampai ke tempat kejadian 15 minit selepas itu, kita terus membuat pengecaman dan mendapati ular berkenaan merupakan ular jenis tedung selar.


“Orang ramai memenuhi pekarangan kawasan itu dan kita nasihatkan supaya memerhati pergerakan ular tersebut,” katanya.


Mohd Fadeli berkata, pihaknya mengambil masa 10 minit berikutan keadaan longkang yang penuh semak dan berjaya menangkap ular tedung itu menggunakan penjerut.


“Operasi menangkap ular mengikut piawaian ditetapkan dan anggota berjaya menangkap ular berkenaan. Kita kurung dalam sangkar untuk tindakan susulan,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]