Tidak dihentikan selepas PRU14

in Edisi Johor by


KLUANG – Jualan Sentuhan Rakyat akan diteruskan pada setiap bulan di Parlimen Kluang bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan harga lebih rendah dan berpatutan.


Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, sejak diperkenalkan, sambutan yang diterima amat memuaskan dan rakyat menginginkan program tersebut diteruskan.


Menurutnya, program tersebut tidak akan dihentikan walaupun selepas PRU14 dan ia akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.


“Rakyat mahu program Jualan Sentuhan Rakyat diteruskan dan itulah yang akan kami lakukan demi memastikan mereka dapat mengurangkan kos perbelanjaan dapur.


“Melihat kepada hasil jualan yang mencecah sehingga RM45,000 dalam tempoh hanya tiga jam pada setiap kali program ini dilaksanakan ia menggambarkan lebih 2,000 orang datang membuat pembelian,” katanya kepada media selepas Program Jualan Sentuhan Rakyat di pekarangan Pasaraya Econsave Kluang di sini, semalam.


Sharifah Azizah berkata, melihat kepada jumlah kedatangan pembeli ia secara tidak langsung memberikan isyarat bahawa program ini mendapat sambutan masyarakat dan tidak harus dihentikan.


“Apatah lagi apabila program yang dilaksanakan di seluruh negara ini sememangnya berkesan menangani kos sara hidup golongan kurang berkemampuan serta berpendapatan sederhana,” katanya.


Sementara itu, pengunjung, Khamisah Othman, 53, dari Taman Intan, Kluang berkata, dia tidak pernah melepaskan peluang setiap kali program Jualan Sentuhan Rakyat itu diadakan pada setiap bulan di sekitar daerah ini.


“Ia sememangnya menjimatkan dan jauh lebih murah daripada harga pasaran kerana semua barang yang ditawarkan didatangkan terus daripada agensi-agensi terlibat.


“Melalui pembelian di sini, saya dapat menjimatkan kos barangan dapur dan secara tidak langsung membantu saya meringankan beban keluarga,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]