Wakaf Raudatul Ilmi perlu RM25,000

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Sebanyak RM25,000 diperlukan bagi menjayakan pembinaan Wakaf Raudatul Ilmi yang dibangunkan di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Felda Air Tawar 4 untuk keselesaan murid pra sekolah berkenaan.


Pengerusi Dana Wakaf Raudatul Ilmi, Farhana Daud berkata, dana berkenaan bertujuan untuk membesarkan kelas murid pra.


Menurutnya, ruang sedia ada untuk kanak-kanak pra berusia tiga hingga lima tahun melakukan aktiviti agak terhad.


“Raudatul Ilmi merupakan ruang wakaf yang mana bertujuan untuk anak-anak pra ini melakukan aktiviti pembelajaran praktikal seperti mengambil wuduk, melakukan solat dhuha dan untuk pelbagai aktiviti lain.


“Ini kerana keadaan ruang yang terbatas dalam kelas menyebabkan anak-anak kurang selesa untuk sesi pembelajaran. Ruang pembelajaran mereka di situ juga merupakan ruang makan.


“Dianggarkan sehingga fasa ke empat pembinaan Raudatul Ilmi akan melibatkan kos RM25,000. Alhamdulillah kutipan dana ibu bapa dan pihak menderma kita berjaya kumpul sebanyak RM6,000,” katanya.


Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Program Munajat Titian Kasih sempena Program Dana Wakaf Raudatul Ilmi, kelmarin.


Dalam pada itu, guru pra sekolah berkenaan, Ahmad Fakhrurrazi Che Daud berkata, dia mengalu-alukan mana-mana pihak untuk datang melihat sendiri perancangan Raudatul Ilmi.


“Kita ajak masyarakat sekitar untuk sama infak dan wakaf sedikit harta walaupun satu ringgit sekalipun demi untuk pembangunan modal insan anak-anak kita satu hari nanti.


“Saya seru semua sama ada NGO, badan korporat dan sesiapa sahaja yang mahu membantu proses pembinaan Raudatul Ilmi ini kita alukan mereka untuk datang.


“Wakaf ini tidak lain adalah untuk manfaat pembelajaran anak-anak kita bersama,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]