BN pantau calon heavyweight pembangkang

in Politik by


KLUANG – BN akan memantau calon-calon gabungan dari pihak pembangkang PKR yang mempunyai nama besar (heavyweight) untuk dipertandingkan pada PRU14 di negeri ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN bukan sahaja akan memantau nama-nama mereka yang kini sudah dicanangkan, tetapi juga yang belum diumumkan.


Katanya, pemantauan dilakukan bagi melihat nama-nama dari pihak pembangkang untuk PRU14.


“Kita tahu lawan politik kita akan hantar calon-calon heavyweight ke Johor dan kita sedang memantau bukan hanya berdasarkan pengumuman calon, tetapi kita turut meneliti cadangan nama yang akan dihantar mereka.


“Bagaimanapun, saya puas hati dengan kesiapsiagaan dan persiapan untuk seluruh jentera BN Johor,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat, Perasmian Pembinaan Sekolah Agama Kerajaan Johor Fasa 5, Penyampaian Sijil Tawaran Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Daerah Kluang, Pelancaran Taman Tamadun Islam, Pelan Pembangunan Kampung Paya dan Dewan Masyarakat India di Batu Tiga, Jalan Mersing, hari ini. 


Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md Jais Sarday. 


Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, persiapan yang dilakukan bukan sekadar laporan di atas kertas tetapi berdasarkan penelitian yang dilakukan di kawasan Parlimen dan Dun di seluruh negeri. Beliau yang juga merangkap Timbalan Pengerusi BN berkata, persiapan BN Johor untuk menghadapi PRU14 adalah 100 peratus dan sudah bersedia pada bila-bila masa.


Terdahulu ketika berucap, Ahmad Zahid mahu BN mempertahankan Johor daripada jatuh ke tangan pembangkang. Menurutnya, kerajaan negeri sedia ada perlu dipertahankan dan selepas ini sekiranya BN menang, lebih banyak pembangunan dan kemajuan akan diteruskan di negeri ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]