DAP sanggup korbankan simbol roket

in Politik by


BANDARAYA MELAKA – Keputusan DAP untuk tidak menggunakan lambang roket pada PRU14 ini merupakan satu strategi serta pengorbanan terbesar parti berkenaan dalam usaha merampas tampuk pemerintahan negara.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, walaupun ada segelintir pemimpin dan ahli DAP yang merasa sedih serta susah hati atas tindakan berkenaan, namun ia merupakan satu usaha untuk menyatukan kesemua parti dalam Pakatan Harapan (Harapan).


Menurutnya, ia juga sebagai satu mesej kepada umum bahawa masanya sudah sampai untuk semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam usaha menyelamatkan negara ini.


“Sudah 52 tahun kita gunakan simbol roket. Saya sendiri sudah bertanding 11 kali PRU dan sekali pilihan raya kecil (PRK) dengan menggunakan simbol roket ini.


“Ia bukanlah senang untuk membuat keputusan untuk tidak menggunakan simbol ini kerana simbol begitu dekat dengan kita dan perjuangan kita.


“Bagaimanapun, kita rela buat pengorbanan untuk memaklumkan kepada rakyat Malaysia bahawa masanya sudah sampai untuk kita bersatu menyelamatkan Malaysia,” katanya semasa ceramah Harapan di Bukit Baru di sini malam tadi.


Turut hadir berceramah pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Harapan Melaka, Adly Zahari; Timbalan Pengerusi Harapan Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin; Setiausaha Harapan Melaka, Khoo Poay Tiong; Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan Timbalan Pengerusi Amanah Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab.


Menurut Kit Siang, sebagaimana sebelum ini DAP menyasar untuk membentuk kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Perak, gabungan pembangkang kini menyasar untuk menawar Johor, sebuah negeri yang dianggap mereka sebagai ‘front-line state’.


“Dulu kita kata kita bukan sahaja nak menang di Melaka tetapi juga di Pulau Pinang, Selangor dan Perak. Sekarang kita mahu pula menang di Johor.


“Sebab itulah saya seru semua rakyat Malaysia, tidak kira kaum, agama atau fahaman politik supaya bersatu dengan Harapan. Ini termasuklah 3.6 juta ahli Umno dan sejuta ahli Pas…masa sudah sampai untuk bersatu dengan Harapan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Kit Siang enggan mengulas mengenai tindakan DAP menggugurkan bekas Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, dari senarai calon untuk PRU14 ini.


Menurutnya, isu berkenaan sudah diputuskan parti dan sehubungan itu, tiada apa yang perlu beliau ulas.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]