Hargai bantuan saguhati

in Edisi Johor by


PONTIAN – Wang ehsan bernilai RM2,000 yang diserahkan kepada 454 nelayan di Mukim Serkat dianggap pemberian paling bermakna sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan.


Rata-rata nelayan yang ditemui amat menghargai bantuan itu terutama ketika sumber pendapatan semakin berkurang disebabkan pelbagai faktor termasuk cuaca, pencemaran dan pembangunan yang dijalankan.


Bagi nelayan, Hasbullah Malek, 50, dia bersyukur dengan bantuan tersebut yang akan digunakan bagi membeli peralatan menangkap ikan seperti jaring.


Katanya, keprihatinan kerajaan mendengar nasib golongan nelayan amat dihargai lebih-lebih lagi bagi nelayan di Tanjung Piai.


“Syukur, suara yang disampaikan nelayan menerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Tanjung Piai mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.


“Kami harap bantuan seumpama ini tidak terhenti setakat ini, sebaliknya perlu diteruskan untuk masa hadapan,” katanya.


Nelayan Mohd Shaid Abu Bakar, 50, pula berkata, wang ehsan yang diterima akan digunakan untuk membeli barang keperluan harian untuk lima anaknya.


Katanya, dia berterima kasih dengan usaha murni kerajaan memberikan wang ehsan kepada nelayan.


“Saya amat gembira dengan bantuan yang diterima ini dan akan menggunakannya secara berhemah untuk menampung perbelanjaan harian keluarga,” katanya,


Nelayan Surati Sarti, 68, pula tidak menyangka dia mendapat bantuan tersebut bersama suaminya Osman Abdullah, 65, yang juga nelayan di Pengkalan Sungai Durian.


“Terima kasih kepada kerajaan sebab tidak lupakan nelayan. Wang yang diterima ini akan disimpan untuk kegunaan kecemasan seperti sakit,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]