Kerja mengemas selesai 8 malam

in Edisi Johor by


PONTIAN – Kerja-kerja mengemas termasuk menyusun semula barang yang dibiarkan penuh dalam 300 troli di Pasaraya Econsave Pontian selesai jam 8 malam.


Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam berkata, sebaik sahaja orang ramai mula bersurai bermula kira-kira jam 2 petang, pekerja sibuk memulakan tugasan mengemas pasar raya.


Semalam, Pasaraya Econsave Pontian diserbu hampir 1,000 orang bermula jam 10 pagi berikutan berita tular palsu berkenaan kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.


Mas Imran berkata, satu laporan polis turut dibuat petang semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.


Tambahnya lagi, pihak pengurusan pasar raya terpaksa menambah pekerja bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengemas barang.


“Bagi pekerja yang pulang jam 5 atau 6 petang semalam,  mereka diberi tawaran untuk lakukan kerja lebih masa memandangkan pasar raya perlu dibersihkan dan barang dalam troli perlu disusun semula.


“10 pekerja ditambah bagi membantu kerja-kerja yang dilakukan sehingga jam 8 malam,” katanya ketika dihubungi.


Mas Imran memberitahu, pihak pasar raya terpaksa menanggung kerugian berikutan terdapat banyak bekas minuman yang kosong ditinggalkan dalam kawasan pasar raya.


“Pihak pengurusan pasar raya berharap kejadian seperti semalam tidak berlaku lagi,” katanya.


Sementara itu tinjauan Sinar Harian di Pasaraya Econsave Pontian pagi tadi mendapati suasana tenang seperti biasa.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]