KFA yakin kemampuan Nidzam

in Sukan by


ALOR SETAR – Pengalaman luas yang dimiliki Mohd Nidzam Adzha Yusof mampu menjulang kembali Kedah ke tahap lebih baik dalam saingan Liga Malaysia 2018.


Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya mempunyai keyakinan tinggi terhadap kemampuan yang dimiliki jurulatih tersebut.


Menurutnya, Mohd Nidzam juga bukan asing dengan pasukan tersebut kerana telah bersama Lang Merah sejak beberapa musim lalu.


“Kami percaya Nidzam boleh bantu untuk kembalikan semula kepercayaan penyokong terhadap pasukan ini.


“Mudah-mudahan pasukan akan beraksi pada tahap terbaik pada aksi bertemu Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Darul aman, malam esok (malam ini). Ketua Jurulatih baharu, Mohd Nidzam akan mengambil alih bermula perlawanan ini ,” katanya.


Mengulas kedudukan semasa Mohd Nidzam, Aminuddin berkata, KFA memutuskan melantik bekas pemain Kedah itu dinaikkan pangkat dari penolong jurulatih kepada ketua jurulatih dan surat tawaran akan dikeluarkan.


Sementara itu, berhubung Ramon Marcote yang direhatkan sebelum ini, pihaknya masih lagi berbincang dengan jurulatih kelahiran Sepanyol tersebut berkenaan tawaran di dalam pembangunan bola sepak Kedah.


“Setakat hari ini Ramon masih berbincang tentang kedudukannya. Belum ada kata putus lagi kerana beliau mahu melihat beberapa terma tawaran berkenaan,” katanya.


Aminuddin berkata, beliau akui bukan perkara mudah untuk Lang Merah kembali ke kedudukan lebih baik selepas berada di tangga ketujuh Liga Super 2018 dengan mencatatkan dua menang dan tiga tewas.


Bagaimanapun, KFA melihat tidak mustahil buat pasukannya kembali bangkit kerana mereka pernah mengalami situasi sama beberapa musim lalu pada awal musim.


“Doakan Nidzam dapat membawa pasukan ini dengan baik. Saya juga selalu berpesan kepada pemain bahawa tidak ada seorang pun hero dalam pasukan ini. Semua pemain adalah hero dan bermainlah bersungguh-sungguh demi bola sepak Kedah,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]