Khairuddin pertahan kerusi Dun Paya Jaras?

in Edisi by


SHAH ALAM – Sejak kebelakangan ini, Dun Paya Jaras mula mencuri tumpuan banyak pihak susulan tindakan penyandang kerusi berkenaan, Mohd Khairuddin Othman yang lompat parti dan bersama-sama perjuangan Pakatan Harapan (Harapan).


Khairuddin yang cukup sinonim dengan perjuangan Pas di kawasan berkenaan ternyata membuat kejutan apabila beliau secara rasmi mengumumkan menyertai PKR sehari selepas Parlimen dibubarkan.


Lebih mengejutkan, PKR dikatakan bakal mengekalkan Khairuddin di kerusi sedia ada walaupun pada peringkat awalnya ura-ura kuat mengatakan calon Amanah akan diletakkan sebagai senjata untuk bertanding di kerusi campuran itu.


Persoalan kini, sejauh manakah kemampuan Khairuddin untuk menarik undi rakyat di kawasan tersebut sekiranya beliau benar-benar diberi peluang untuk bertanding pada kali ini?


Cakap-cakap mengatakan, sekiranya Khairuddin memilih untuk bertanding atas tiket PKR, beliau dilihat tidak berdepan masalah besar bagi mengekalkan kemenangan di sana menjelang PRU14 tidak lama lagi.


Malah, Khairuddin juga telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya merampas kerusi tersebut daripada penyandang yang merupakan calon BN, Datuk Ir Muhamad Bushro Mat Johor pada PRU13 lalu dengan majoriti 5,522 undi hasil kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat (PR).


Keyakinan sama turut dikongsi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir yang memaklumkan, walaupun telah meninggalkan Pas, Khairuddin masih mempunyai sokongan teguh daripada parti-parti komponen Harapan yang lain.


“Kekuatan parti komponen Harapan itu biasanya akan mengatasi kekuatan Pas yang bergerak bersendirian dan itu beri kelebihan kepada calon berkenaan (Khairuddin) untuk mengatasi calon ditampilkan oleh parti Islam itu dan BN.


“Rakyat juga pastinya ingin melihat sendiri kemampuan Khairuddin yang akan bertanding atas tiket PKR,” katanya.


Namun begitu, Pas beranggapan bahawa tindakan Khairuddin tersebut tidak akan memberi kesan besar kepada parti Islam itu dalam merencanakan persediaan mereka bagi menghadapi PRU14 nanti.


Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad sebelum ini secara terbuka menyatakan bahawa tindakan Khairuddin itu tidak memberi kesan besar kepada parti di kawasan-kawasan lain malah jentera masih dapat bergerak dengan mantap.


“Jentera Pas di kawasan bergerak seperti biasa. Saya yakin Pas akan dapat mempertahankan kerusi Paya Jaras,” katanya.


Lebih mengejutkan, Pas turut tidak membuang masa dan terus bergerak ke hadapan bagi menghadapi PRU14 nanti apabila mereka mengumumkan telah mempunyai pengganti bagi kerusi Khairuddin tersebut.


Perkembangan ini menunjukkan bahawa Pas sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan dan tidak terlalu fokus terhadap permasalahan yang dihadapi bagi memberi tumpuan sepenuhnya pada PRU14 ini.


Walaupun kerusi Dun Paya Jaras dilihat bakal dimonopoli oleh Harapan dan Pas, namun setiap pihak tidak boleh menafikan kemampuan BN di kerusi itu memandangkan calon mereka juga pernah menjadi penyandang di kawasan berkenaan pada PRU12 lalu.


Jika diimbas, pada PRU12 lalu, Khairuddin pernah tewas tipis dengan undi majoriti sebanyak 642 di tangan Muhamad Bushro.


Dengan pelbagai isu dan perkembangan di kerusi berkenaan, pastinya ia bakal memberikan satu sajian menarik buat pengundi dalam PRU14 bagi memilih calon wakil rakyat mereka.


Malah, isu persempadanan semula dan pertembungan tiga penjuru antara Harapan, Pas dan BN juga bakal mempengaruhi keputusan PRU14 kali ini.


Namun, segala keputusan terletak di tangan pengundi untuk memilih wakil  mereka yang berupaya membawa dan memperjuangkan isu-isu setempat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]