Kuasa wanita senjata ampuh BN

in Politik by


PASIR GUDANG – Salah satu kekuatan BN setiap kali berlangsungnya pilihan raya sama ada kecil atau umum adalah kemantapan jentera wanitanya yang diketuai Wanita Umno.


Menurut Ketua Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad, kesungguhan, komited dan semangat sejati bekerja untuk kepentingan parti menjadikan jentera Wanita BN sentiasa berusaha untuk memenangi hati pengundi seramai mungkin.


Jelasnya, sentuhan yang dihasilkan dari sifat kelembutan dan keibuan membuatkan pengundi-pengundi yang dirayu jentera Wanita Umno membuat keputusan untuk memilih calon BN pada majoriti PRU yang lalu.


“Oleh itu jangan pandang enteng kekuatan jentera wanita BN khususnya Wanita Umno pada setiap kali pertembungan pilihan raya.


“Mereka ini jujur, bersemangat dan ikhlas bekerja untuk perjuangan serta kemenangan parti. Kekuatan jentera wanita BN memang sudah diakui oleh kawan dan lawan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Ujar Normala lagi, kerana itulah Perdana Menteri dan pucuk pimpinan parti menyedari kepentingan jentera Wanita Umno yang mampu menjadi senjata paling ampuh untuk merayu undi pada PRU.


Katanya, sejarah juga membuktikan bagaimana Umno berjaya melahirkan ramai pemimpin wanita yang hebat seperti Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Paduka Zaleha Ismail, Tan Sri Rafidah Aziz dan juga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


“Wanita Umno sudah mempunyai sejarah kepimpinan yang cukup gemilang sepanjang tempoh perjuangan Umno. Kita sudah buktikan mampu menjadi senjata paling berkesan, menjadi pemimpin terbaik di semua peringkat dan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti.


“Kemampuan inilah yang sentiasa digeruni oleh pihak lawan setiap kali berlangsungnya PRU,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]