
SEOUL – KOREA SELATAN. Anak bongsu pemilik Korean Air dilaporkan memohon maaf selepas insiden membaling botol air ketika menghadiri satu sesi mesyuarat.
Cho Hyun-min, 36, yang merupakan Naib presiden senior Korean Air turut didakwa menyimbah air ke muka salah seorang pekerjanya, namun tuduhan itu dinafikan pihak syarikat.
Menurut seorang jurucakap, Hyun-min dikatakan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan salah seorang pekerjanya lalu bertindak melempar botol air ke lantai ketika mesyuarat berlangsung.
Susulan insiden terbabit, Hyun-min memohon maaf di atas tindakan melulunya menerusi akaun Facebook semalam.
Ini bukan kali pertama pewaris Korean Air terlibat dalam insiden sebegini, pada Disember 2014, kakak kepada Hyun-min, Cho Hyun-ah menjadi tajuk utama akhbar apabila beliau mengamuk ketika menaiki penerbangan dari New York ke Seoul.
Hyun-ah dikatakan berang apabila kacang macadamia yang dimintanya dihidangkan di dalam beg dan tidak di atas pinggan.
Kes itu dibawa ke mahkamah, dan Hyun-ah disabitkan melanggar keselamatan penerbangan dan penyalahgunaan kuasa pada tahun 2015.
Insiden terbaharu ini menyemarakkan lagi kemarahan rakyat Korea Selatan terhadap keluarga elit tersebut dan menjadikan mereka trending di Twitter. – BBC
Source: SH Global
[featured-video-plus]